Keluarga Pesakit Bingung Fikir Bil Hospital Lebih RM100 Ribu





JOHOR BAHRU – Berikutan tidak mampu menanggung bil rawatan sebuah hospital di Singapura yang terlalu tinggi, sebuah keluarga mangsa kemalangan di republik berkenaan meminta bantuan daripada kerajaan negeri untuk dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Jumlah bil yang ditanggung keluarga Hamidun Yahya, 47 meningkat kepada SGD45,000 (RM120,138.58) hanya 15 hari selepas mangsa dimasukkan ke hospital separa kerajaan di republik itu dan mereka meminta bantuan daripada Adun Bukit Permai, Ali Mazat Salleh untuk perpindahan berkenaan.

Dalam kejadian 13 Februari lepas, Hamidun yang bekerja sebagai pemandu bas di sebuah syarikat pengangkutan negara itu mengalami pendarahan serius di kepala selepas terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya dengan menunggang motosikal.

Adik Hamidun, Hamidah Yahya, 43, berkata, keluarga mereka tidak mampu membayar kos rawatan di hospital itu yang terlalu tinggi dan syarikat tempat kerja abangnya bekerja selama empat bulan itu turut tidak dapat menampung sepenuhnya kos rawatan berkenaan.

“Kita terpaksa meminta bantuan daripada kerajaan kerana syarikat abang bekerja itu hanya bersedia membayar SGD10,000,” katanya kepada media selepas lawatan Pengerusi Jawatan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat di HSA, di sini, semalam.

Hamidah berkata, keluarganya masih mencari sumbangan termasuk melalui media sosial untuk mengumpul dana bagi menjelaskan bil hospital Hamidun di Singapura.

“Tetapi, kami benar-benar bersyukur kerana kerajaan negeri turut campur tangan dengan membantu kami dan membawa abang berpindah ke HSA dalam masa dua hari.

“Agak sukar untuk kami datang melawat dan menjaganya di hospital negara itu dan kami masih mencari cara untuk menyelesaikan baki bil berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ayub berkata, Hamidun berada dalam keadaan stabil serta ditempatkan di HSA sejak 1 Mac lalu dan pihak HSA masih membuat rawatan susulan termasuk fisioterapi berikutan kecederaan yang dialaminya.

“Keluarga tidak perlu bimbang tentang bil-bil perubatan yang tinggi di sini kerana kita menganggarkan kos rawatannya di HSA tidak akan melebihi RM500.

“Oleh itu, rakyat sepatutnya bersyukur kerana hospital kerajaan di negara kita menyediakan rawatan perubatan yang cekap dan kualiti pada kadar yang berpatutan berbanding di negara lain termasuk Singapura.

“Dianggarkan antara 90 hingga 95 peratus rakyat Malaysia yang menerima subsidi daripada kos keseluruhan perkhidmatan perubatan yang dilakukan di hospital awam.

Justeru, beliau menasihatkan agar mereka yang mempunyai masalah yang sama supaya segera menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Singapura, jabatan kesihatan negeri atau wakil rakyat masing-masing untuk mendapatkan bantuan. – Sinar


0 comments:

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ