Kaya Dunia Muflis Akhirat
ORANG PALING MUFLIS DI AKHIRAT
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW. bersabda yang bermaksud :
“Tahukah kamu siapakah dia Orang Muflis?”
Sahabat-sahabat baginda menjawab :
“Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda.”
Nabi SAW. bersabda yang bermaksud : “Sebenarnya Orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini, dan menuduh orang itu, memakan harta orang orang ini, menumpah darah orang itu dan juga memukul orang. Maka akan di ambil dari amal kebajikannya serta di beri kepada orang ini dan orang itu, kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis di bayar kesalahan-kesalahan yang di tanggungnya , akan di ambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang di aniayakannya serta di timpakan keatasnya , kemudian ia di humbankan kedalam neraka.”
(Hadis Riwayat Muslim dan Turmizi)
Dalam hadis di atas Nabi SAW menyatakan secara khusus mereka yang akan menjadi muflis di hari akhirat adalah mereka yang suka :
1. Kesalahan memaki hamun orang ini.
2. Menuduh orang itu.
3. Memakan harta orang orang ini.
4. Menumpah darah orang itu dan
5. Memukul orang.
Huraiannya :
1. Kesalahan memaki hamun orang ini.
Golongan yang suka memaki hamun orang lain adalah pemimpin dan ahli-ahli politik (dalam ceramah dan kempennya terutama menjelang pilihan raya), wartawan politik dan penulis blok (penyokong pemimpin tertentu) . Apabila terkeluar daripada lidah mereka perkataan maki-hamun langsung tidak pernah teringat akan seksaan Allah SWT di akhirat.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor (maki hamun).” (Hadis Riwayat Ibnu Mas'ud)
Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda maksudnya : “Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya?”. (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali k.w maksudnya : "Wahai Ali ! Janganlah engkau mencaci-maki orang Islam atau mencaci-maki binatang kerana cacian itu akan kembali dirimu sendiri. Wahai Ali ! Kuasailah lisanmu dan biasakanlah dia mengucapkan yang baik, kerana tidak ada yang lebih berbahaya bagi manusia pada hari kiamat yang melebihi ketajaman lisannya. Wahai Ali ! Jauhilah tukang caci-maki kerana ia suka membuka aib orang dan ia tidak akan masuk syurga."
2. Menuduh orang itu.
Golongan yang suka menuduh orang lain atau membuat fitnah adalah :
2.1. Pemimpin dan ahli politik (tuduhan ini dibuat supaya menjatuhkan maruah musuh politiknya supaya rakyat mengalihkan sokongan kepada kumpulannya)
2.2. Wartawan akhbar (ketua pengarang dan wartawan). Menyerang habis-habisan parti lain yang bukan parti yang mereka sokong. Manipulasi ucapan seseorang dengan andaian-andaian negatif.
2.3. Wartawan hiburan yang suka memfitnah para aris untuk melariskan jualan majalah hiburan mereka.
2.4. Penulis blog yang "mencari makan" dan mendapat upah daripada golongan tertentu terutama daripada parti politik. Penulis ini tidak beretika semasa menulis kerana fitnah yang ditulis tidak mempunyai bahan bukti yang sahih dan hanya berbentuk sangkaan dan andaian sahaja.
2.5. Ahli perniagaan dan individu tertentu.
Golongan ini sanggup membuat sumpah palsu menggunakan al-Quran. Sumpah palsu ini pula dilakukan dimasjid untuk megelirukan orang ramai. Golongan ini juga sanggup membuat video seks palsu, mengadakan sidang akhbar menuduh seseorang melakukan zina dan liwath tanpa membawa empat orang saksi yang adil.
2.6. Pengguna internet yang tidak berakhlak.
Golongan ini adalah golongan yang suka mengaibkan rakannya yang lain melalui status dan wall rakannya dan membuat tuduhan dan fitnah kerana sifat marah dan benci kepada seseorang. Kadangkala dia sanggup menyebarkan cerita palsu kepada rakan-rakan orang yang di bencinya supaya maruah dirinya tercalar dan dia merasa puas hati.
Inilah sifat yang paling buruk dan bukan daripada akhlak Islam. Sifat suka mengaibkan orang lain akan menyebabkan aibnya akan didedahkan oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.
2.7. Bekas pemimpin politik dan pensyarah universiti (bahagian penyiaran atau undang-undang)
Golongan ini kadangkala berat sebelah apabila membuat komen dan ulasan terhadap seseorang individu dan mudah membenarkan tuduhan yang diterimanya melalui media masa. Apabila mereka membenarkan berita fitnah, mereka juga termasuk di dalam golongan yang buruk akhlaknya.
2.8. Suami dan isteri yang tidak bersefahaman yang sedang untuk bercerai.
Golongan ini suka mendedahkan keburukan pasangan masing-masing di dalam facebook atau akhbar untuk mencari pubisiti dan simpati orang lain. Jika tidak berhati-hati akan mendapat dosa besar di sisi Allah SWT iaitu suami akan menjadi dayus dan isteri pula akan menjadi nusyuz.
Rasulullah SAW pernah bertanya sahabatnya: "Adakah aku belum pernah menerangkan kepadamu orang yang paling jahat daripada kamu?" Sahabat menjawab: "Belum!", lalu Nabi bersabda bermaksud: "Mereka yang berjalan ke sana ke mari membawa fitnah, mereka yang membuat kerosakan antara sesama sahabat dan mereka yang mencari-cari kekurangan pada orang yang tidak bersalah." (Hadis riwayat Ahmad)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW bersabda maksudnya : "Yang paling dikasihi oleh Allah di antara kamu adalah : mereka yang baik akhlak, yang merendahkan sayapnya (diri), yang suka dengan orang dan yang disukai orang. Manakala yang dimurkai oleh Allah adalah : mereka yang pergi membawa fitnah, yang mencerai-beraikan di antara saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah akan kesalahannya" (Hadis riwayat Tabharani dan Abu Hurairah r.a.)
3. Memakan harta orang orang ini.
Golongan yang suka mengambil harta orang adalah golongan peragut, pencuri, perompak, menipu dalam perniagaan, pemimpin yang mengambil harta dan tanah rakyat (memberikan kepada kroninya sahaja bukan kepada mereka yang layak) dan mengambil rasuah (untuk berlaku tidak adil.)
Dari Abu Salamah r.a., terdapat banyak permusuhan antara dirinya dengan orang banyak. Hal ini diberitakannya kepada Aisyah r.a. Aisyah berkata: Hai Abu Salamah! Hindarilah perbuatan mengambil tanah orang lain! Nabi SAW pernah bersabda: "Barangsiapa yang mengambil tanah orang lain tanpa hak agak sejengkal, maka akan dikalungkan kepadanya tujuh lapis bumi."(Hadis Riwayat Bukhari)
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang merosakkan nama baik atau harta benda orang lain, maka minta maaflah kepadanya sekarang ini, sebelum datang hari di mana mata wang tidak laku lagi. Kalau ia mempunyai amal baik, sebahagian dari amal baiknya itu akan diambil, sesuai dengan kadar aniaya yang telah dilakukannya. Kalau ia tidak mempunyai amal baik, maka dosa orang lain itu diambil dan ditambahkan kepada dosanya."
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dari Abdullah Umar r.a., Nabi SAW. bersabda: "Aniaya itu menjadi kegelapan di hari kiamat."
(Hadis Riwayat Bukhari)
4. Menumpah darah orang itu dan 5. Memukul orang.
Golongan ini adalah golongan pemimpin yang zalim (berlaku di Mesir, Libya, Syria dan ditempat-tempat lain) membunuh rakyatnya yang tidak berdosa, perompak (cara bersenjata mencederakan mangsanya), membunuh manusia lain termasuk ibu yang membunuh bayi baru dilahirkan (kerana berzina), pembunuh upahan, pengawal keselamatan yang memukul orang ramai yang berhimpun secara aman hingga tercedera (pihak atasan yang mengarahkannya akan mendapat saham yang sama) dan suami (yang bengis) yang suka memukul isterinya hingga cedera.
Dari Abu Sa'id Al-Khudri r.a., bahawa Nabi S.A.W. bersabda: "Tidak ada seseorang yang melakukan sesuatu perbuatan aniaya terhadap orang lain di dunia dengan tidak menyerah dirinya kepada orang itu untuk membalasnya, nescaya Allah akan menyerahkannya kepada orang itu supaya membalasnya pada hari kiamat."
(Hadis Riwayat Baihaqi)
Marilah sama-sama kita menjauhkan diri daipada terlibat sama di dalam perkara-perkara dosa yang melibatkan lima golongan manusia yang akan mendapat pangkat MUFLIS di hari akhirat. Jika kalian tidak melakukan tetapi kalian bersubahat dan menyokong lima golongan tersebut di atas di khuatiri kalian juga akan mendapat saham yang sama. Kerena redha perkara dosa akan sama seperti melakukan dosa tersebut.
Berhati-hatilah kerana biasanya dimusim pilihan raya dosa-dosa fitnah dan mengaibkan orang lain akan datang bertali-arus sehingga kalian boleh mempercayainya dan "tumpang semangkuk" di atas dosa orang lain yang kalian tidak lakukan. Semoga kalian semua dilindungi Allah SWT daripada kerosakkan ini oleh itu sentiasalah kalian istiqamah dengan Islam dan akhlak Islam dan menjauhkan diri daripada fitnah dunia akhir zaman ini.
Waullahualam.
0 comments:
Post a Comment