Misteri Wanita Warga Kyrgyzstan Yang Turut Terkorban Dalam Nahas Helikopter Akhirnya Terjawab
Semenyih: Wanita warga Kyrgyzstan, Aidana Baizieva yang terkorban dalam nahas helikopter AS365 N2 Dauphin di Semenyih Sabtu lalu adalah kenalan juruterbang helikopter itu, Kapten Clifford William Fournier.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya berpuas hati mengenai identiti Aidana Baizieva, 25, walaupun hasil ujian DNA ke atas mayatnya masih belum dikenal pasti secara konklusif.
"Pihak polis berjaya mendapatkan maklumat tempat tinggal mangsa warga Kyrgyzstan berusia 25 tahun itu di sebuah apartmen di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
"Mangsa pernah belajar di negara ini antara 2010 hingga 2014 dan menamatkan pengajian diploma dalam bidang pelancongan di Kolej Segi,"katanya pada sidang media, di sini, petang tadi.
Menurutnya, pihaknya turut memperoleh keterangan daripada rakan wanita itu bahawa Aidana kenalan kepada juruterbang berkenaan.
"Polis juga sudah memeriksa rumah mangsa dan mengambil beberapa spesimen untuk tujuan perbandingan DNA.
"Dalam pemeriksaan itu, polis menemui bukti antaranya tiket penerbangan mangsa dengan juruterbang berkenaan yang pernah ke acara LIMA di Langkawi pada 21 Mac lalu,"katanya.
Abdul Samah berkata, pihaknya juga mempunyai keterangan juruterbang itu beberapa kali membawa mangsa menaiki helikopter termasuk pada hari kejadian.
"Dengan keterangan yang diperoleh ini, polis meminta orang ramai supaya tidak berterusan membuat spekulasi yang tidak adil kepada keluarga mangsa,"katanya.
1 comments:
Boleh pulak pilot tumpangkn kawan masa menjalankan tugas rasmi? Bawa VVIP lagi, bukan kecik2 org. Kene ketatkan lagi prosedur kot.
Post a Comment