Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



ROH WANITA TERPERANGKAP DALAM MAK NYAH ~ PEGUAM



SEREMBAN - "Mak Nyah" adalah golongan dengan roh wanita yang terperangkap dalam badan lelaki dan tidak boleh dihukum apabila berpakaian seperti kaum hawa kerana ia merupakan sebahagian daripada sifat semula jadi mereka, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.

Peguam Aston Paiva berkata Mak Nyah turut mengalami gangguan kronik dari segi perubatan dikenali sebagai "kecelaruan identiti jantina" (GID) iaitu psikologi dalaman tidak sepadan dengan fizikal tubuh.

Beliau mewakili tiga tukang andam lelaki Islam yang mencabar undang-undang Syariah yang menghalang mereka berpakaian seperti perempuan.

Paiva berkata orang yang mempunyai masalah ini akan berpakaian seperti seorang wanita kerana secara psikologi mereka adalah seorang wanita.

"Bukti perubatan menunjukkan GID bukanlah satu pilihan. Tiada siapa yang ingin mengalami GID. Ia akan menghantui anda," katanya sambil menambah golongan ini tidak boleh diubah dengan penggunaan ubat-ubatan atau terapi psikologi.

Beliau berkata langkah menghukum seorang Mak Nyah atas sifat yang mereka tidak pinta atau boleh ubah adalah seperti kita menerima apartheid dan genosid.

Paiva berkata Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 tidak mempunyai kesan dan tidak terpakai bagi kepada mereka yang secara psikologi adalah wanita dan mengalami GID selain melanggar Perkara 10(1)(a), Perkara 5(1) dan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara, kebebasan peribadi selain melarang diskriminasi atas sebab agama, bangsa dan jantina.

Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail, 30, mengemukakan rayuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman mereka untuk mencabar keperlembagaan Seksyen 66.

Mereka memohon deklarasi bahawa seksyen itu tidak terpakai terhadap mereka atau bagi orang yang mengalami GID.

Pada 4 November 2011, mereka memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi memulakann prosiding semakan kehakiman.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan itu selepas memutuskan bahawa oleh kerana mereka beragama Islam dan dilahirkan sebagai lelaki, ketiga-tiga plaintif perlu mematuhi undang-undang berkenaan sebagai sebahagian daripada ajaran Islam.

Seksyen 66 membenarkan Mahkamah Syariah menghukum mana-mana lelaki yang berpakaian atau berlagak seperti seorang wanita dengan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga plaintif, yang mendakwa ditahan dan diganggu berulang kali oleh pihak berkuasa, turut memohon satu perintah bagi melarang penangkapan dan pendakwaan terhadap mereka di bawah seksyen ini.

Sementara itu, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Majlis Peguam dan bertindak sebagai 'amicus curiae' atau sahabat mahkamah, berkata enakmen undang-undang negeri mesti konsisten dengan kebebasan asasi sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Majlis Peguam bimbang dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana berpendapat pendekatan yang digunakan adalah salah," katanya.

Panel Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, Datuk Aziah Ali dan Datuk Lim Yee Lan, menetapkan 17 Julai untuk menyambung pendengaran kes itu.

Terdahulu, mahkamah membenarkan Majlis Peguam dan wakil Human Rights Watch hadir sebagai amicus curiae pada pendengaran rayuan itu.Bernama



0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ