Kerana Memakai Seluar UiTM Halau Ibu Dari Konvokesyen Anak
Kuala Lumpur – Gara-gara melanggar etika berpakaian, seorang wanita yang menaiki pesawat dari Sarawak kecewa, apabila dia tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan, bagi menyaksikan anak perempuannya menerima segulung ijazah pada majlis konvokesyen sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Shah Alam.
Semalam, wanita itu yang menggunakan nama akaun Facebook Marjorie Abdullah, berkongsi pengalaman yang dilaluinya itu di laman sosial, dengan memuat naik dua keping gambar ketika menghadiri majlis konvokesyen anak perempuannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke Facebooknya.
“Ini adalah pakaian yang menyebabkan saya dihalau keluar dari konvokesyen anak saya,” demikian keterangan yang mengiringi gambar menunjukkan dia memakai seluar.
Kod etika berpakaian bagi majlis konvokesyen UiTM menetapkan, pelajar perempuan serta ibu atau waris wanita yang hadir pada majlis tersebut, hanya dibenarkan berbaju kurung atau blaus, manakala seluar tidak dibenarkan.
Menurut wanita itu, dia tidak mengetahui etika pakaian yang ditetapkan UiTM, kerana dia tinggal di Sarawak, selain tidak melihat kad jemputan yang memaklumkan perkara itu.
“Saya tidak sepatutnya memakai seluar untuk menghadiri konvokesyen itu, tetapi saya berada di Sarawak dan mereka tidak menerima alasan itu,” katanya mengakui kesilapan dalam ayat yang turut meraih simpati pengguna laman sosial.
Dia turut mendakwa, akibat berang dengan tindakan pihak universiti yang enggan berlembut atau memberi pengecualian kepada dia, anak perempuannya bersama tunangnya turut tidak menyertai majlis konvokesyen masing-masing.
Catatan wanita itu meraih simpati segelintir rakan Facebooknya yang turut mempertikaikan ketegasan pihak universiti menguatkuasakan etika berpakaian untuk menghadiri konvokesyen melalui komen masing-masing.
Rina Tung Vose menyifatkan, kejadian yang menimpa ibu dari Sarawak itu amat teruk dan pastinya dia juga akan marah, jika perkara sedemikian menimpa dirinya.
Amani Gamaledin pula berkata, wanita berkenaan kelihatan cantik, walaupun memakai seluar dan kesal dia diperlakukan oleh tindakan yang ketinggalan zaman.
Memetik laporan portal Rakyat Post, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu berkata, etika berpakaian ketika menghadiri konvokesyen bukanlah peraturan baru.
Ia sudah lama diamalkan, selain dinyatakan dalam kad jemputan yang diedarkan pihaknya.
“Etika ini perlu diikuti, kerana ianya melibatkan disiplin dan sekiranya tidak ditetapkan etika ini, pelbagai ragam pakaian yang akan dikenakan,” katanya.
Menurut Sahol, walaupun isu itu remeh, namun ia membabitkan disiplin pelajar serta mereka yang menghadiri konvokesyen.
“Mereka ini pelajar dan bijak untuk berfikir dan kami selalu nasihatkan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
0 comments:
Post a Comment