Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



25,556 ADUAN DITERIMA PADA HARI KEDUA GST







25,556 aduan GST diterima – Hasan

03 April 2015 1:29 AM
Hasan Malek (kanan) bersama Ahmad Bashah Md. Hanipah (tengah)
KUALA LUMPUR 2 April - Sebanyak 25,556 aduan berhubung cukai barang dan perkhidmatan (GST) diterima sejak sistem cukai baharu itu dilaksana semalam.

Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, daripada jumlah itu, 23,871 aduan diterima menerusi sistem aplikasi telefon mudah alih, MyKira GST, 1,109 (talian hotline) dan 576 (laman e-Aduan).

Menurutnya, aduan-aduan tersebut penting bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti premis dan peniaga yang melakukan penyelewengan supaya tindakan tegas dapat diambil serta-merta terhadap mereka.

Katanya, orang ramai selaku pengguna perlulah menggunakan semua medium yang telah disediakan pihak berkuasa bagi melaporkan penipuan peniaga atau kekeliruan berhubung harga yang dipamerkan.

“Setakat ini, pelbagai aduan dite­rima dan dijawab dengan baik oleh pegawai bertugas. Walaupun terdapat rungutan berhubung perkhidmatan seperti talian terputus atau tidak disambung, kami mengharapkan agar orang ramai faham masalah dihadapi seperti talian sibuk dan sebagainya.

“Sekiranya terdapat aduan, kita akan segera bertindak. Pihak berkuasa tidak akan menerima sebarang alasan daripada para peniaga yang melanggar kesalahan dan sengaja mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyertai Ops Pematuhan GST-Catut dan melakukan tinjauan harga barang di beberapa premis di pusat beli-belah Mid Valley bersama Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Khazali Ahmad.

Beliau turut menyaksikan penyerahan prosedur operasi standard (SOP) bersepadu antara JKDM dengan KPDNKK dalam melaksana Ops Pematuhan GST-Catut dan Ops Catut Fasa II KPDNKK.

Dalam pada itu, Hasan berkata, sebanyak 7,770 premis perniagaan di seluruh negara diperiksa sejak Ops Catut 2 dilancarkan bermula semalam.

Katanya, pemeriksaan tersebut dilakukan secara menyeluruh melibatkan semua jenis premis perniagaan seperti pasar raya, pasar tani dan kedai runcit termasuk juga pengilang, pengedar, pemborong dan pengeluar.

“Sasaran operasi kali ini ialah di beberapa industri terpilih, pasar raya dan bengkel kereta. Malah, pemeriksaan turut dilakukan di 3,055 pasar basah, 1,587 pasar malam dan 1,076 kedai runcit,” katanya.



0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ