Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



SEBAB SEBENAR DS NAJIB DISERANG OLEH TUN M




SEBAB SEBENAR NAJIB DISERANG TUN M
Oleh Lokman Adam

Dari hari ke hari kita lihat, serangan ke atas Dato Seri Najib oleh Tun Dr Mahathir Mohamed semakin menjadi-jadi. Yang terkini, pemberian BR1M kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah RM4,000 ke bawah juga dipertikainya. Memang tidak mudah untuk kepimpinan UMNO menjawab Tun M. Siapa juga yang cuba mempersoalkan keterlanjuran Tun M, sudah pasti menempah keranda dalam karier politik mereka kerana terpaksa berhadapan dengan ribuan penyokong Tun M yang menganggap Tun sebagai seorang yang maksum umpama Nabi. Memandangkan karier politik saya pun dah mati bila tewas dalam pemilihan Naib Ketua Pemuda UMNO lalu dan bekas pemimpin PKR memang sukar untuk bertapak semula dalam UMNO, biarlah saya membakar diri menyatakan apa sebenarnya disebalik usaha Tun M ini.

Setiap pemimpin ada cara tersendiri bagaimana mereka ingin mengurus ekonomi negara. Di zaman Tun M, salah satu pendekatan yang beliau gunakan untuk merangsang ekonomi ialah dengan menyelamatkan syarikat-syarikat besar. Saya masih ingat, Tun M selalu menyebut, "bila kita bantu syarikat-syarikat besar ini, mereka akan dapat membayar gaji pekerja-pekerja mereka dan mereka juga akan memberikan pulangan kepada kerajaan dengan membayar cukai". Itu cara Tun dan kerana itu jugalah bila Anwar tidak mahu meluluskan penggunaan dana Petronas sebanyak RM 2 Billion untuk menyelamatkan MISC, yang punya kaitan dengan Mirzan Mahathir, Anwar akhirnya dipecat.

Ya, memang betul Anwar seorang peliwat, tidak syak lagi. Tetapi kalau betul Tun M tidak boleh terima seorang peliwat untuk menggantikan beliau, sudah pasti dari tahun 1993 lagi Anwar sudah dipecat olehnya bila Tun Hanif Omar, Ketua Polis Negara ketika itu memaklumkan tentang tabiat luar tabii Anwar, tetapi Tun tidak pernah kisah soal moral Insan yang setia bersamanya ketika itu. Tun hanya bertindak ke atas Anwar bila Anwar enggan membantu Mirzan yang terganggu emosinya ketika itu akibat kegawatan ekonomi 1997-1998. Memang tidak dapat dinafikan, pemecatan Anwar juga berpunca daripada tindakan juak-juak Anwar yang sudah mengatur langkah untuk menabalkan Anwar sebagai Presiden UMNO.

Di bawah kepimpinan Dato Seri Najib, beliau tidak menggunakan pendekatan Yang Tun ambil. Lagipun, jika RM 5 billion disuntik kepada syarikat-syarikat besar ini, berapa peratus sangatlah yang akan dinikmati oleh kakitangan syarikat-syarikat tersebut berbanding dengan pemberian BR1M yang terus diberikan kepada mereka yang benar-benar susah dan memerlukan. Matlamatnya juga sama iaitu meningkatkan kecairan dipasaran, tiada bezapun dengan matlamat Tun M. Cuba kita tanya kepada mereka yang menerima BR1M tahun lepas, siapa yang masih menyimpan duit BR1M mereka? Saya yakin semuanya sudah habis dibelanjakan untuk membeli barang keperluan harian mereka. Jika mereka membeli sayur, ianya akan merangsang industri pertanian, jika ianya digunakan untuk membeli daging, ianya akan merangsang industri penternakan dan begitulah seterusnya.

Tun M bukan hendak jawapan pada persoalan BR1M, 1MDB, Altantuya, Shirul mahupun Jet yang turut beliau dan Tun Siti Hasmah gunakan semasa beliau menjadi Perdana Menteri ketika kegawatan ekonomi 1997-1998. Isu tersebut hampir semuanya sudah dijawab dan Tun M bukanlah seorang yang malas membaca.

Yang menyebabkan Tun M gelabah tidak tentu pasal hari ini adalah apabila beliau melihat perginya TG Nik Aziz dan Lee Kwan Yew. Tun M tahu yang masanya juga akan sampai dan beliau "running out of time". Sebagai seorang bapa yang cukup menyayangi anaknya, Tun M membuka laluan perjalanan politik untuk anaknya Mukriz dengan cukup baik. Setiap Perdana Menteri selepas beliau dianggap hanya "Calon Sementara" sebelum Mukriz dapat ditabalkan sebagai Perdana Menteri. Tempoh masa yang diberikan juga sekitar 5 tahun supaya beliau sempat memastikan Mukriz berpeluang duduk di kerusi No 2 sebelum beliau menemui Ilahi.

Itu sebabnya saya tidak terkejut bila Tun M kata Najib akan jatuh bulan Mac. Dulu, Pak Lah dilanyak teruk sejak beliau membatalkan projek Jambatan Bengkok yang Tun M luluskan. Pak Lah bertahan selama 5 tahun 8 bulan. Dato Seri Najib pula mula menjadi mangsa bila beliau mengambil keputusan yang menjejaskan kroni Tun M. Antaranya dengan membatalkan kontrak bekal tenaga oleh 4 IPP yang dimiliki oleh YTL, Syed Mokhtar, Genting dan Ananda.

Bila batal kontrak pembekalan tenaga kepada TNB ini, cerita yang berjaya disembunyikan dari pengetahuan rakyat ialah wang rakyat sebanyak RM19 billion setahun telah berjaya Dato Seri Najib selamatkan kerana kita tidak perlu lagi memberi subsidi kepada keempat-empat IPP ini termasuk dua daripadanya yang telah dibeli oleh 1MDB iaitu IPP milik Ananda dan Genting. Dan inilah juga puncanya kenapa Ananda terpaksa membayar balik lebih 2 billion (Bukan Pinjaman) kepada 1MDB kerana pembelian IPP milik Ananda dibuat bersekali dengan nilai kontrak membekal tenaga yang dimiliki oleh IPP milik Ananda itu.

Semalam, genap 6 tahun DSN memerintah dan ini jelas membuktikan jangkaan Tun M bahawa Najib akan jatuh bulan Mac lepas ternyata meleset. Kepada sahabat-sahabat yang masih "blur" kenapa Tun M merapu mempersoalkan pelbagai pekara yang sebenarnya sudahpun terjawab, izinkan saya menyatakan puncanya. Sebabnya hanya satu, Tun M tidak yakin yang Mukriz mampu menyaingi KJ tanpa bantuannya. Itu sebabnya DS Najib perlu ditumbangkan supaya Mukriz lebih mudah ke Kerusi No 2 sebelum beliau memejamkan matanya.

Buat Tun M, pesanan saya cuma satu. Ingatkan kembali ayat yang selalu beliau utarakan, "Kalau nak tegur pemimpin, tegurlah mengikut saluran. Kalau marah dengan seekor nyamuk, janganlah satu kelambu dibakar". Bagi saya KJ dan Mukriz keduanya aset negara dan kalau kita hendak melihat UMNO kekal berkuasa lama, kedua mereka harus kita angkat memimpin kita. Akan tetapi biarlah mereka berdua ini naik dengan kemampuan mereka sendiri dan melalui persaingan yang sihat.

Kalaupun Tun nak bantu Mukriz, gunakanlah pengalaman berharga Tun itu membantu Mukriz menjadi seorang Menteri Besar yang berwibawa dan terbukti berjaya membawa negeri Kedah ke arah kegemilangan yang disanjung rakyat. Tetapi, kalau Tun M terus memberi peluru kepada pembangkang untuk membenamkan DS Najib, saya khawatir bukan hanya Najib yang akan tumbang, tetapi BN juga akan tumbang sebagai parti memerintah. Apa guna kalau ketika itu kita ada Presiden UMNO yang baru, tetapi kita sudah tidak punyai kuasa. Masa itu, bukankah anak Tun sendiri yang akan berputih mata?


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ