Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Sutera Hijau Adalah Pakaian Ahli Syurga

Sutera Hijau Adalah Pakaian Ahli Syurga


Di Syurga nanti semua ahlinya kelihatan tersangat tampan dan cantik. Dalam kesempatan kali ini, kita akan melihat bagaimana keindahan semula jadi itu disaluti dengan perhiasan yang sangat mewah. Maka, ahli Syurga berada dalam keindahan atas keindahan. Sehingga setiap daripada mereka menjadi keindahan yang tiada bandingannya.

Allah SWT berfirman maksudnya:

"Mereka itu (orang yang) diberikan Syurga 'Adn, yang mengalir sungai-sungai di bawahnya. Di dalam Syurga itu, mereka dihiasi dengan gelang tangan emas dan memakai pakaian hijau daripada sundus dan istabraq. Mereka duduk sambil bersandar di atas pelamin-pelamin yang indah. (Surah al-Kahfi 18: 31)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Pakaian mereka adalah pakaian hijau yang diperbuat daripada sundus dan istabraq, serta dihiaskan mereka dengan gelang tangan daripada perak. Tuhan mereka memberikan mereka minuman yang sangat suci. (Surah al-Insan 76: 21)

Perhiasan Ahli Syurga

Kedua-dua ayat ini membawa kepada kita gambaran indah kaum Mukmin di Syurga. Mereka pemuda-pemudi yang tampan dan cantik, yang dihiasi dengan emas dan sutera pada tubuh mereka yang putih dan mulus.

Pakaian ahli Syurga ialah sundus dan istabraq. Kedua-duanya merupakan pakaian yang diperbuat daripada sutera bermutu tinggi.
Sundus ialah sutera halus yang nipis dan licin, sementara istabraq pula sutera yang lembut dan tebal. Kedua-duanya sangat indah dan selesa dipakai. Jika dibandingkan antara sutera di Syurga dengan sutera lain di atas muka bumi ini, sutera Syurgawi jauh lebih indah dan lembut.

Anas bin Malik bercerita, "Pada suatu ketika, Rasulullah SAW dihadiahkan sepasang jubah yang diperbuat daripada sundus. Semua orang yang melihatnya berasa sangat kagum."

Baginda SAW bersabda, maksudnya:

"Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sesungguhnya sapu tangan Sa'ad bin Mu'az di Syurga lebih indah daripada ini." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sapu tangan termasuk pakaian yang paling rendah kualitinya. Tidak mungkin seseorang memakai baju yang lebih murah daripada sapu tangannya. Maka, jika sapu tangan di Syurga lebih indah daripada jubah sutera di dunia, tentu baju dan jubah di Syurga jauh lebih indah.

Selain baju sutera, setiap ahli Syurga dihiasi gelang tangan yang diperbuat daripada emas dan perak. Semua lelaki dan perempuan, tanpa terkecuali akan memakai perhiasan ini.

Gelang-gelang itu terlihat sangat indah di tubuh lelaki Syurga, sebagaimana ia juga menambahkan kecantikan isteri mereka.

Ibn Abi al-Dunia meriwayatkan daripada al-Hasan al-Basri, "Perhiasan di Syurga lebih indah berada di tangan lelaki daripada di tangan perempuan."

Tinggalkan di Dunia

Sesiapa yang berminat untuk memakai semua perhiasan ini di Syurga, maka ia mesti meninggalkannya di dunia. Syarat untuk masuk Syurga ialah hati yang tawaduk dan bersih daripada kesombongan. Memakai emas dan sutera di dunia (secara berlebihan) menafikan sifat tersebut.
Daripada Uqbah bin Amir, Rasulullah SAW melarang ahli keluarganya memakai perhiasan (emas) dan sutera. Baginda SAW bersabda, maksudnya:

"Jika engkau menginginkan perhiasan dan sutera di Syurga, maka janganlah memakainya di dunia." (Riwayat an-Nasa'i)

Sesiapa yang melanggar hukum ini, maka ia akan diharamkan untuk memakainya di Syurga. Daripada Umar bin al-Khattab, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang memakai sutera di dunia, ia tidak akan memakainya di Akhirat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama mengatakan bahawa larangan ini hanya ditujukan kepada kaum lelaki. Adapun wanita, maka dibolehkan memakai emas dan sutera untuk mencantikan dirinya di mata suami. Berbagai-bagai hadis lain turut menyokong kesimpulan ini.

Salah satunya, daripada Abu Musa al-Asy'ari, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

"Diharamkan sutera dan emas ke atas lelaki daripada umatku dan digalakkan bagi perempuannya." (Riwayat at-Tirmizi. At-Tirmizi berkata: "Hadis Abu Musa hasan sahih.")

Rahsia di Sebalik Warna Hijau

Ayat-ayat al-Quran menyebut bahawa pakaian ahli Syurga berwarna hijau. Pilihan warna ini mengandungi rahsia yang sangat mendalam. Para ulama sejak dahulu hingga sekarang banyak membincangkan makna di sebalik warna hijau ini.
Menurut Imam al-Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah, warna hijau menjadi pilihan kerana ia sangat lembut dipandang mata. Warna putih sangat menyilaukan dan warna hitam sangat gelap.


Warna hijau berada antara putih dan hitam, serta warna ini menghimpunkan cahaya.
Selain itu, warna hijau juga memberi kesan kepada psikologi yang sangat mendalam. Imam Mahmud bin Abdillah al-Alusi menulis dalam tafsirnya, "Warna hijau ialah warna yang paling indah. Hati berasa gembira setiap kali melihatnya melebihi warna-warna yang lain."

Ucapan pakar tafsir ini mendapat sokongan daripada para pengkaji moden. Para pengkaji menemukan bahawa warna hijau mencerminkan ketenangan, kedamaian dan kebahagian. Jika seorang pesakit melihat warna hijau, hatinya akan dipenuhi perasaan optimistik kerana itulah warna hijau dipakai oleh doktor bedah di dalam bilik pembedahan.

Warna hijau juga melambangkan kepuasan, kebanggaan dan kekuasaan. Menurut Imam Ibn Ashur, warna hijau menjadi pilihan raja-raja zaman dahulu. Apabila Syurga dipenuhi dengan warna ini, seolah-olah ia melambangkan kepuasan yang sangat sempurna di hati setiap ahlinya.

Tidak Pernah Rosak

Ahli Syurga ialah raja dan ratu yang sangat muda dan berkuasa. Apa-apa yang mereka kehendaki, segera wujud di hadapan mata. Allah SWT berfirman, maksudnya:
"Apabila kamu melihat di sana (Syurga), nescaya kamu akan melihat berbagai-bagai kenikmatan dan kerajaan yang besar." (Surah al-Insan 76: 20)

Tiada keindahan hakiki melainkan keindahan Syurgawi. Tiada kenikmatan seperti kenikmatan ahli Syurga. Mereka muda dan berbahagia selama-lamanya.

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita daripada azab Neraka dan menjadikan kita ahli Syurga yang kekal di dalamnya bersama ibu bapa, anak isteri serta seluruh kerabat dan kenalan kita. Amin ya Rabbal 'alamin. - sumber


1 comments:

adakah kita insan yg bertuah itu? huhuuhu...

20 February 2014 at 19:27 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ