Pencarian MH370 mungkin makan masa bertahun-tahun
Pencarian MH370 yang hilang secara misteri sejak 8 Mac lalu mungkin tidak akan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang terdekat ini.
Malah, pakar dari Amerika Syarikat menjangkakan ia mungkin memakan masa bertahun-tahun sebelum sebarang penemuan dan penyelesaian terhadap misteri itu dirungkai.
Halangan terbesar adalah kerana tidak ada sesiapa pun yang tahu secara tepat laluan yang digunakan MH370 ketika ia hilang dan dipercayai terhempas.
Kapten Mark Matthews dari angkatan tentera laut negara itu berkata, “Pada masa ini secara umum kawasan pencarian adalah seluruh Lautan Hindi yang akan memakan masa yang sangat lama untuk pencarian sepenuhnya dilakukan.
“Jika anda membandingkan dengan penerbangan 447 Air France, sekurang-kurangnya ketika itu kita ada maklumat yang lebih baik mengenai di mana kapal berkenaan mungkin terhempas,” katanya.
Beliau merujuk kepada kejadian yang berlaku di perairan berhampiran Brazil yang memakan masa dua tahun untuk kotak hitam kapal tersebut ditemui.
Pada ketika ini, Malaysia dan Australia telah mengumumkan akan terus mencari MH370 dan tidak menetapkan sebarang garis masa atau waktu untuk berbuat demikian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi menjejaki Penerbangan MH370 MAS dan tidak akan menghentikan pencarian sehingga pesawat itu ditemui.
Ketika operasi mencari memasuki minggu ketiga, Perdana Menteri berkata ingatan dan doa beliau sentiasa bersama keluarga penumpang dan anak kapal pesawat jenis Boeing 777-200ER itu, yang hilang pada 8 Mac.
“Ketika masuk minggu ketiga pencarian MH370, kami memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia komited sepenuhnya terhadap operasi pencarian dan tidak akan menghentikan operasi sehingga pesawat dijumpai,” kata beliau di akaun Facebook miliknya.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang termasuk 152 warga China, dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Misi pencarian membabitkan pelbagai negara digerak bagi menjejaki pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di sepanjang dua koridor iaitu koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkemistan ke utara Thailand dan koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.
Susulan analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini, satelit Inmarsat milik syarikat telekomunikasi United Kingdom dan AAIB merumuskan Penerbangan MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi ke barat Perth, Australia.
Najib kemudian mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas pesawat itu hilang bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.
Kawasan pencarian bagi pesawat MH370 kini ditumpukan ke satu kawasan kira-kira 1,100 kilometer ke barat Perth, Australia berdasarkan nasihat terkini kumpulan penyiasat antarabangsa, lapor Mynewshub.
0 comments:
Post a Comment