Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dilanda banjir lagi
KUALA LUMPUR - 1/4/2014: Hujan lebat sejak malam semalam menyebabkan banjir kilat setinggi paras lutut melanda Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) pagi tadi.
Ketua Pemuda GERAKAN Pulau Pinang, Tan Keng Liang menerusi akaun Twitternya menggesa Ketua Menteri Lim Guan Eng untuk membaiki sistem perparitan di lapangan terbang tersebut.
Beliau turut memuat naik gambar keadaan banjir di kawasan tersebut menunjukkan jalan keluar ruang ketibaan yang dipenuhi air.
Memetik laporan laman portal Rakyat Post hari ini, jurucakap PIA memberitahu tidak pernah situasi begini berlaku sehingga menyebabkan banjir kilat di kawasan lapangan terbang yang terletak di Bayan Lepas itu.
“Kami merekodkan kedalaman air hujan sebanyak 62.2mm daripada hujan semalam.
“Namun, banjir yang terjadi pada jam 7 pagi tadi telah surut kurang 2 jam selepas hujan berhenti iaitu kira-kira jam 9 pagi, dan kini kerja-kerja pembersihan telah bermula bagi membersihkan lumpur yang tertinggal,” katanya.
Tambahnya, banjir tersebut tidak menyebabkan masalah besar kerana ia terjadi di kawasan luar ruang ketibaan berdekataan stesen limosin dan air tidak memasuki ruang premis lapangan terbang.
“Banjir ini terjadi mungkin disebabkan oleh kerja-kerja pengubahsuaian di lapangan terbang dimana ia boleh menjejaskan sistem saliran yang menyebabkan kerumitan aliran air hujan setiap kali hujan,” katanya sambil menambah pihak pengurusan PIA akan memastikan masalah begini tidak akan timbul lagi.
“Kami sedang memantau situasi di sini sebagai berjaga-jaga jika hujan lebat terjadi lagi,” tambahnya.
Banjir tersebut turut melimpah hingga ke ruang kenderaan menunggu walaupun sistem saliran baru telah dipasang yang menelan belanja RM250 juta.
Ini berikutan beberapa insiden banjir yang berlaku pada Mac, September dan November tahun lepas. - awani
0 comments:
Post a Comment