Terkini! Akhirnya Transkrip Rasmi Perhubungan TERAKHIR MH370 Didedahkan
PETALING JAYA - 1/4/2014: Transkrip penuh komunikasi antara pesawat MH370 dan menara kawalan udara Kuala Lumpur telah dikeluarkan pada Selasa, mendedahkan tiada sesuatu yang 'luar biasa'.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, transkrip tersebut sudah dikongsi dengan ahli keluarga penumpang.
"Tidak ada tanda sesuatu yang luar biasa di dalam transkrip itu," kata Hishammuddin dalam satu kenyataan pada Selasa.
Transkrip itu diakhiri dengan komunikasi trafik udara Malaysia yang terlebih dahulu mengucapkan selamat malam kepada MH370 dan mengarahkan juruterbang untuk menghubungi menara kawalan udara di vietnam sebelum memasuki ruang udara negara itu.
Komunikasi akhir dihantar pada pukul 1.19 pagi dari salah seorang juruterbang MH370 yang mengucapkan 'selamat malam, Malaysia Tiga Tujuh Kosong'.
Pesawat itu hilang dari radar tidak lama selepas itu dan masih belum dijumpai, walaupun Malaysia percaya laluan itu sengaja dialihkan dan terbang berjam-jam lamanya menghala Lautan Hindi, lokasi pesawat itu disahkan berakhir.
'Selamat Malam Pesawat Malaysia Tiga Tujuh Kosong' - Perbualan Terakhir ATC, Kokpit
KUALA LUMPUR: "Selamat malam pesawat Malaysia tiga tujuh kosong" adalah perbualan terakhir dalam transkrip antara pengawal trafik udara (ATC) dan kokpit pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Kementerian Pengangkutan malam Isnin.
Menurut kenyataan kementerian perbualan itu dirakamkan pada jam 0119 (waktu Malaysia) 8 Mac.
Kementerian Pengangkutan berkata pihak berkuasa masih menjalankan penyiasatan forensik untuk menentukan sama ada perkataan terakhir yang dirakamkan dari kokpit itu diucapkan oleh juruterbang atau pembantu juruterbang.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan persoalan yang dibangkitkan semasa sidang media oleh Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Isnin berhubung komunikasi terakhir antara kokpit dan pengawal trafik udara.
Kenyataan itu menyebut Hishammuddin juga telah mengarahkan pasukan penyiasatan supaya mengeluarkan transkrip penuh itu, yang akan diberikan semasa taklimat kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal Penerbangan MH370.
Baca juga di sini
0 comments:
Post a Comment