KPN Selar Spekulasi Terus Burukkan Imej Kapten Zaharie
KOTA BARU: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kecewa dengan pihak tertentu yang berterusan membuat spekulasi tragedi pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 sehingga memalukan keluarga juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Beliau berkata spekulasi berkenaan bukan sahaja boleh memalukan keluarga terbabit tetapi juga ia boleh menjejaskan segala siasatan berhubung kejadian itu.
"Terlalu banyak spekulasi jadi kita kena berhati-hati ketika membaca. Saya tengok anaknya pun sudah menafikan, jadi ada pihak wartawan media (asing) yang kurang beretika sengaja tulis perkara-perkara yang tidak elok.
"Kalau ada yang boleh saya umumkan, saya akan umumkan tetapi kita semua kena faham perkara dalam siasatan, kita takut ia akan menjejaskan penyiasatan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Sepanjang Hayat Bersama Pucuk Pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Selasa.
Pada Isnin, anak Kapten Zaharie, Aishah menyelar laporan The Daily Mail yang mendakwa bapanya mengalami gangguan emosi beberapa minggu sebelum tragedi itu.
Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pukul 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Sementara itu, Khalid berkata terdapat peningkatan kes anggota polis di seluruh negara yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, jantung dan buah pinggang.
Keadaan itu, menurutnya, berikutan keadaan hidup rakyat di negara ini yang bertambah baik dan kemampuan untuk membeli makanan kesukaan masing-masing.
"Benda-benda ini semua perlu dikawal maknanya kita perlu beri kesedaran tentang betapa pentingnya untuk menjaga pemakanan dan kesihatan diri kita melalui senaman-senaman," katanya.
Beliau mengingatkan warga polis agar menjaga kesihatan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan baik dan menikmati kualiti hidup yang sihat.
Turut hadir isteri Khalid yang juga Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Puan Sri Imran Ibrahim, Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir.
0 comments:
Post a Comment