Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



APAKAH HUKUM SUAMI ROGOL ISTERI?

APAKAH HUKUM SUAMI ROGOL ISTERI


KUALA LUMPUR - Mufti dan cendekiawan Islam membantah sebarang usaha untuk menghukum suami `merogol' isteri sendiri di bawah Kanun Keseksaan kerana ia bercanggah dengan Islam dan boleh merosakkan kesucian institusi perkahwinan.

Selain itu pelbagai pihak lain seperti pengamal undang-undang dan aktivis wanita menyifatkan kenyataan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang beranggapan perbuatan suami `merogol' isteri patut dihukum, sebagai pandangan yang berasaskan perjuangan hak asasi manusia di Barat.

Mufti Perak, Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria berkata, perbuatan suami yang melakukan hubungan seks di luar kerelaan isteri sama sekali tidak boleh dianggap sebagai merogol isteri dan tidak boleh dianggap kesalahan di dalam hukum Islam.

Beliau yang menganggap permintaan Suhakam itu sebagai menentang hukum Tuhan, turut berpendapat bahawa pandangan sedemikian adalah pengaruh dari Barat yang kini memberikan hak secara berlebihan kepada golongan wanita.

Katanya, masyarakat Barat berbuat demikian bagi membetulkan kesilapan silam dan perasaan bersalah golongan lelaki mereka yang satu ketika dulu beranggapan seseorang wanita itu bukan manusia.

``Dalam Islam, hubungan kelamin suami isteri ada batasan dan had-had tertentu umpamanya waktu isteri sedang dalam haid, suami tidak dibenarkan menyetubuhi isterinya.

``Oleh itu, saya tidak bersetuju dengan cadangan Suhakam kerana seseorang suami berhak menyentuh isterinya manakala si isteri wajib taat. Jika isteri enggan, jatuhlah hukum nusyus dan tidak wajib ke atas suami memberi nafkah kepada isterinya,'' katanya kepada Mingguan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman yang disiarkan pada muka depan Utusan Malaysia hari ini yang meminta kerajaan menjadikan tindakan suami `merogol' isteri sendiri sebagai satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana ia satu penderaan seks dan keganasan di dalam sesebuah perkahwinan.

Abu Talib berkata, Suhakam menganggap perbuatan suami yang melakukan hubungan seks di luar kerelaan isteri adalah melanggar hak asasi manusia.

Tambahnya, suami yang tidak memberi nafkah dari segi wang ringgit selama berbulan-bulan dan masih inginkan layanan seks daripada isterinya juga boleh dikatakan melanggar hak asasi isteri.

APAKAH HUKUM SUAMI ROGOL ISTERI


Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar pula berpendapat undang-undang sedia ada sudah memadai dalam menangani perbuatan suami yang bertindak ganas terhadap isteri.

``Selain itu istilah merogol isteri dalam perkahwinan yang sah sendiri bertentangan dengan hukum syarak kerana salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk menghalalkan hubungan seksual.

``Saya percaya agama lain juga menggariskan perkara yang sama. Oleh itu budaya dan adat Timur yang dipegang oleh rakyat Malaysia tidak harus dicampuradukkan dengan gaya hidup Barat,'' katanya.

Sementara itu Pensyarah Undang-Undang Wanita dan Kekeluargaan, Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Noor Aziah Mohamed Awal berkata, bagi orang Islam hubungan seks hanya boleh dilakukan melalui ikatan perkahwinan dan kerelaan wanita untuk berkahwin dengan suaminya menggambarkan bahawa berlaku `kerelaan' pada pihak isteri.

``Bagaimanapun, kerelaan seks seorang isteri bukanlah hak mutlak suami sebab itu jika isteri berasakan tindakan suaminya itu sebagai keterlaluan hingga mengundang kepada unsur kezaliman, maka tuntutan fasakh berdasarkan taklik boleh dibuat,'' tegasnya.

Pendakwah bebas wanita, Siti Nor Bahyah Mahmud yang turut tidak bersetuju dengan pandangan Suhakam, berkata, perkahwinan itu sendiri sebenarnya menghalalkan perkara yang haram di antara lelaki dan wanita.

``Istilah rogol tidak sepatutnya timbul apabila merujuk kepada perhubungan suami isteri kerana Allah berfirman di dalam surah Al-Baqarah Ayat 187 yang bermaksud, isteri kamu adalah pakaian bagi kamu (suami) dan kamu juga adalah pakaian bagi isterimu,'' katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika ada kes keterlaluan suami terhadap isteri termasuk dalam hubungan kelamin, istilah yang wajar digunakan adalah keganasan atau penderaan seksual dan bukannya rogol; kerana Islam sendiri tidak menggalakkan seorang suami menyakiti isterinya.

Seorang peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Zain berkata, saranan Suhakam itu jika dipenuhi oleh kerajaan, boleh mengelirukan institusi perkahwinan dan masyarakat Islam.

Beliau berkata, seseorang isteri hanya berhak untuk tidak memberikan layanan seks kepada suami jika suaminya menghidapi penyakit kelamin, jangkitan HIV ataupun menagih dadah dan berhak memohon cerai di Mahkamah Syariah secara fasakh.

Profesor di Jabatan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi pula menegaskan bahawa jika kerajaan menuruti saranan Suhakam itu, ia hanya membawa lebih banyak keburukan termasuk mengundang perbalahan lebih serius di kalangan suami isteri.

Sementara itu Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta Suhakam meminta perhatian kepada usaha menangani masalah perceraian di kalangan umat Islam dan berhati-hati sebelum membuat sebarang cadangan agar tidak bercanggah dengan agama.

Pendakwah bebas, Md. Daud Che' Ngah berpendirian bahawa cadangan Suhakam itu membelakangkan tuntutan agama kerana menafikan hak suami untuk mendapat layanan seks daripada isteri yang dikahwini secara sah dan tidak boleh dianggap sebagai kes rogol. - Utusan






1 comments:

good sharing

6 March 2014 at 12:27 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ