Sultan Pahang Sedia Berundur, Takhta FAM Jadi 'Persaingan Diraja'
PETALING JAYA: Bola sepak Malaysia dilihat seakan-akan bakal menghadapi perubahan apabila Sultan Ahmad Shah bersedia untuk menarik diri sebagai Presiden Persatuan Sepak Malaysia (FAM) selepas 30 tahun menerajuinya, menjadikan persaingan untuk jawatan itu sebagai persaingan diraja dengan pertempuran antara dua putera mahkota.
Sultan berusia 83 tahun yang mengambil alih jawatan presiden pada tahun 1984 itu dikatakan bersiap sedia untuk mengundurkan diri esok, apabila Kongres FAM bermesyuarat untuk memilih pemegang jawatan bagi penggal 2014-18.
Pengunduran itu akan menyediakan pentas buat anaknya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dan pemegang jawatan nombor dua dalam FAM, Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan menjadi pesaing.
Kedua-dua putera mahkota dikatakan mempunyai peluang sama rata untuk menang tetapi kemenangan untuk pendatang baharu, Tunku Ismail, yang lebih dikenali sebagai TMJ akan dianggap sesuatu yang mengecewakan.
Ini kerana Tengku Abdullah, 55, telah terlibat dalam FAM dalam tempoh yang hampir sama dengan bapanya, manakala Tunku Ismail, 29, hanya mengambil alih jawatan sebagai presiden Johor FA dua tahun lalu.
Pemenang akan diputuskan oleh undi daripada 39 perwakilan - 14 negeri akan membuang dua undi setiap satu (28 undi), bersama-sama dengan Angkatan Tentera (2), Polis (2), FA Melayu Malaysia (2), FA Cina Malaysia (2), Majlis Sukan India Malaysia (2) dan Persatuan Jurulatih Malaysia (1).
Peminat bola sepak telah mendesak perubahan dalam FAM berdasarkan penurunan prestasi pasukan kebangsaan dan kekecewaan dalam hal ehwal dalam pembangunan sukan itu.
Ramai menyalahkan pemerintahan yang lama dan tidak dicabar oleh Raja Pahang sebagai sebab utama yang menghalang kemajuan bola sepak negara.
Malaysia menduduki tempat 145 dalam senarai FIFA yang melibatkan 209 negara, kali terakhir layak untuk kejohanan bola sepak Olimpik pada tahun 1980.
Di peringkat Sukan Asia, Malaysia kali terakhir memenangi pingat gangsa di Teheran pada tahun 1974.
Tunku Ismail mendapat sokongan daripada beberapa nama besar dalam bola sepak Malaysia, termasuk ketua Persatuan Bolasepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa dan bekas ketua Persatuan Bolasepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang kedua-duanya sedang digantung oleh FAM.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, bekas Timbalan Presiden FAM juga dikatakan berminat terhadap perubahan dalam FAM. - mstar
1 comments:
Nice sharing
Post a Comment