Tidak Perlu Tukar Darah Jika Termakan ‘Cadbury Babi’
ISU CADBURY : TIADA 'BERSIH DARAH' & TIADA SAMAK/SERTU MULUT
Bagi sesiapa yang telah termakan Cadbury berDNA babi secara tersalah atau tidak tahu berkenaan kewujudan unsur babi tersebut. Menurut hukum Islam, mereka TIDAK BERDOSA dan seterusnya TIDAK PERLU membersihkan darah.
Sebagaimana firman Allah swt :
وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا {الأحزاب: 5}
Ertinya : Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Ahzab : 5)
Dan Nabi Muhammad salla ‘allahu ‘alaihi wasallam:
إن الله تجاوز عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه. رواه ابن ماجه وصححه الألباني.
Ertinya: Sesungguhnya Allah swt melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka. ( Riwayat Ibn Majah, sahih)
Justeru, tiada istilah ‘membersihkan darah’, atau seolah DIRI akan ke neraka atau AMALAN LAIN akan DITOLAK kerana coklat terbabit sekiranya darah tidak dibersihkan. Ini semua tidak benar.
Namun, jika ingin diambil SAMAN GANTIRUGI atas kesilapan Cadbury dan kealpaan mereka atau keculasan menggunakan logo halal pada yang tidak halal, itu WAJAR DILAKUKAN namun JANGAN dihujah atas nama ‘membersihkan darah’ seolah ia tuntutan agama.
Juga TIDAK PERLU disamak mulut dan usus dengan air tanah, Islam tidak menuntut sedemikian dalam hal seperti ini. Jangan menyebabkan Islam disalah tanggapi dengan pandangan pelik dan tidak berasas kukuh.
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
28 Mei 2014
DrMAZA.com menulis
Membantah Cadbury itu sesuatu yang bagus sebagai hak pengguna yang tidak boleh diperdayakan. Namun, berlebihan dalam hukum seperti menyuruh samak mulut, tukar darah dan lain-lain adalah merupakan unsur ghuluw ataupun melampau dalam beragama. Islam itu tidak merepek dan menyusahkan seperti demikian rupa. Sesiapa yang termakan yang haram tanpa sengaja tidak dikira dosa dan seseorang tidak akan dihukum Allah atas perkara luar dari maklumat dan kemampuannya.
Malangnya, dalam masa yang sama kita tidak pula bising habis-habisan dalam perkara yang jelas haram seperti riba, korupsi, judi, salah guna harta awam dan seumpamanya.
Inilah fahaman Islam yang hanya terasa 'haram babi, tapi tidak terasa haram judi, riba dan rasuah sedangkan dosa dan mudarat semua itu lebih besar dari babi.
Pendapat yang mewajibkan membasuh kesan khinzir dengan air tanah hanya pendapat mazhab. Sedangkan majoriti ulama berpendapat memadai dibasuh dengan air tanpa memerlukan tanah. Apa yang penting hilang kesannya. Tiada dalil jelas yang menyatakan khinzir wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan termasuk air tanah. Dalil basuh tujuh kali termasuk air tanah berkenaan berkaitan anjing, bukan khinzir. Kekuatan pendapat khinzir tidak perlu dibasuh dengan air tanah ini disokong oleh tokoh besar Mazhab al-Syafi’i sendiri iaitu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) yang banyak mensyarahkan mazhab tersebut dan diterima pakai banyak karyanya di Nusantara ini. Kata Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i (meninggal 780H):
“Khinzir hukumnya seperti anjing. Dibasuh apa yang ternajis disebabkannya sebanyak tujuh kali. Inilah pendapat yang paling sah dalam Mazhab al-Syafi’i. Kata al-Nawawi: Yang lebih tepat dari segi dalil memadai membasuh kesan khinzir sebanyak sekali tanpa tanah. Inilah pendapat kebanyakan ulama dan inilah pendapat yang diterima pakai. Ini kerana asal sesuatu perkara tidak wajib melainkan adanya dalil syarak”. (Sadr al-Din Muhammad bin ‘Abd al-Rahman al-Syafi’i, Rahmah al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, m.s 9, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Bagi saya pendapat majoriti ulama ini di samping lebih kuat, ia juga memudahkan kita berurusan dalam hidup terutama bagi yang makan di hotel, kapalterbang, bertandang ke rumah jiran atau kenalan bukan muslim. Adapun pendapat yang menyuruh samak mulut dengan air tanah adalah satu kecelaruan akal. Tiada siapa yang menganut Islam pada zaman Nabi s.a.w disuruh menyamak mulut mereka kerana dahulu mereka telah makan makanan haram. Sementara yang mencadangkan ditukar darah pula adalah satu kejahilan yang tiada bertebing.
Baca juga di sini:
Baca juga di sini:
0 comments:
Post a Comment