Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Masihkah Anda Ingat Penyanyi Lelaki Berkumpulan Popular Era 90an




Irama pop yang terdiri daripada muzik pop, rock, hip-hop, elektronik dan R&B amat diminati oleh golongan anak muda ketika di era awal kemunculan beberapa kumpulan penyanyi lelaki tempatan pada sekitar tahun 1990an.

Muzik yang berunsur kosmopolitan yang mempertaruhkan vokal dan tarian ini mula menjadi tumpuan pemuda dan pemudi di kota apabila munculnya beberapa kumpulan yang mula memperjuangkan muzik ini di persabda seni tanah air.

Setelah melihat penerimaan golongan remaja terhadap kehangatan lagu-lagu rap dan pop, maka muncullah beberapa kumpulan lelaki yang turut menyemarakkan industri hiburan ketika itu.

Jom kita saksikan senarai penyanyi lelaki berkumpulan yang popular pada zaman 90an!

Kumpulan KRU



Kumpulan yang terdiri daripada tiga orang adik beradik iaitu Norman, Yusry dan Edry ini merupakan pencetus kepada perkembangan aliran muzik rap dan hip-hop Melayu di Malaysia.

Pada awal kemunculan mereka di tahun 1992 di bawah label EMI Malaysia, trio ini telah menggegarkan industri muzik tanah air dengan lagu hits mereka berjudul "Awas!" dan diikuti dengan lagu popular lain seperti "Mengerti", "Janji Tinggal Janji" dan "Di Dalam Dilema".

Selepas kejayaan beberapa buah album yang diterbitkan, KRU kembali menghangatkan lagi fenomena irama pop dan rap tempatan dengan kemunculan album "Ooh! La! La!" pada tahun 1996 dan seterusnya album "Krumania" pada 1997 dan turut berduet bersama kumpulan Elite dengan lagu "Di Pintu Syurga".
KRU dilihat sangat kreatif dan inovatif dalam menghasilkan lagu-lagu mereka dan kini empayar mereka masih berdiri gah dengan menguruskan artis naungan dan turut menerbitkan beberapa buah drama dan filem tempatan serta antarabangsa.


Kumpulan 4U2C




Kumpulan ini juga telah ditubuhkan pada tahun 1992 oleh Mizal Zaini atau lebih dikenali dengan nama AC Mizal bersama dua kenalannya yang berkongsi minat yang sama iaitu Azam dan Joe.

Pertemuan mereka bersama Man Senoi dan Mama Rap telah menyebabkan kumpulan ini ditubuhkan bersama empat lagi anggota lain iaitu Adik, Lan, Yanz dan Rin dan populariti yang diraih menyebabkan mereka dilantik sebagai duta jenama minuman tin yang bernama "RAP".

Mereka yang aktif sekitar tahun 1992 sehingga 1996 membuat kemunculan awal dengan album pertama berjudul "4U2C" yang diterbitkan di bawah Zman Production pada Ogos 1992 dan selepas beberapa tahun bersama, akhirnya kumpulan ini telah dibubarkan menjelang penghujung tahun 1995 akibat pergolakan di dalam kumpulan dan pihak pengurusan.

Lagu popular mereka "Fiona" yang dicipta dan ditulis lirik oleh Joe telah menjadi sebuah lagu yang mendapat sambutan paling hangat di kalangan pendengar dan di anggap sebagai lagu 'trademark' kumpulan 4U2C sehingga ke hari ini.


Kumpulan Shades




Shades adalah merupakan kumpulan penyanyi yang popular dengan cara nyanyian harmoni dan acapella yang ditubuhkan pada tahun 1993 oleh tiga orang anak muda yang berasal dari Kuala Lumpur.

Setelah bertungkus lumus mengejar impian mereka, kumpulan ini telah berkembang dan terdiri daripada lima orang iaitu Izzee, Nazrea, Jeri, Saiful dan Wan yang melahirkan album pertama mereka berjudul "Shades".

Antara lagu-lagu mereka yang menjadi perhatian dan diminati ramai adalah "Jangan Ucap Selamat Tinggal", "Malam", "Yang Teristimewa" dan banyak lagi.

Kumpulan ini turut mencipta kejayaan berganda apabila berjaya meraih gelaran Artis Baru Terbaik dan Anugerah Vokal Berkumpulan Terbaik di Anugerah Industri Muzik 1996.


Kumpulan Kool




Nama kumpulan ini merupakan singkatan kepada 'Kami Orang-Orang Lama' dan pernah melahirkan tiga buah album berjudul "Bebas", "Satu Arah" dan "Fantasi" bersama Sony Music Malaysia.

Kumpulan muzik yang aktif sekitar pertengahan 90an ini dianggotai oleh Jay, Hairie, Pat, Riot dan juga Zack.
Antara kejayaan yang pernah dikecapi oleh mereka adalah pernah mewakili Malaysia untuk MTV Malaysia dan Jepun dan turut ke Festival Muzik Shanghai yang berlangsung di China dan meraih tempat ketiga di dalam pertandingan tersebut.

Selain itu, Kool juga berjaya memenangi juara bagi kategori Pop Rock di Anugerah Juara Lagu bagi tahun 1995 dan 1996 dengan lagu "Kau Dan Aku" dan juga "Bebas".


Kumpulan A2Z




Pastinya mereka yang lahir sekitar tahun 80an membesar dengan lagu-lagu Melayu berunsur daerah yang dipopularkan oleh kumpulan A2Z atau 'A to Z' pada pertengahan tahun 90an.

Di awal kemunculan kumpulan ini, mereka dianggotai oleh tiga anak muda iaitu Lan, Jeff dan Fendi dan popular dengan lagu hits mereka berjudul "Berdendang", "Iyo Ko", "Itik Gembo-Gembo", "Darjat" dan lain-lain lagi.

A2Z aktif di industri muzik tempatan sekitar tahun 1997 hingga tahun 2000 dan pernah bertukar ganti ahli kumpulan dan disertai oleh Chap setelah Fendi membuat keputusan untuk keluar selepas tiga tahun bersama kumpulan ini.

Fendi dikhabarkan aktif sebagai seorang pendakwah dengan menyertai kumpulan tabligh dan pernah berhasrat untuk membuka sebuah sekolah pondok di Langkawi sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 2008 yang lalu. - Tupai.com.my


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ