Ramadhan Bakal Menjelma, Fidyah Perlu Dibayar, Puasa Wajib Diganti

Ramadhan Bakal Menjelma, Fidyah Perlu Dibayar, Puasa Wajib Diganti



Bulan Ramadan bakal menjelang tidak lama lagi dan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia pastinya ternanti-nanti kehadirannya bagi meningkatkan amalan puasa dan pahala sepanjang bulan barakah ini.

Namun, dalam keterujaan menyambut ketibaan Ramadan, umat Islam dinasihatkan agar tidak mengambil mudah mengenai fidyah (denda) puasa yang wajib dilaksanakan oleh mana-mana individu Islam yang meninggalkan puasa Ramadan.

Fidyah merupakan bayaran denda dikenakan terhadap mereka yang gagal menggantikan puasa Ramadan pada sesuatu tahun sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Islam menetapkan fidyah mesti dibayar oleh beberapa golongan yang meninggalkan puasa Ramadan iaitu mereka yang uzur syar’ie, wanita hamil, ibu yang menyusukan anak dan orang yang telah meninggal dunia.

Katanya, golongan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu perlu membayar fidyah, tetapi tidak perlu menggantikan (qadha) puasa dan kategori satu lagi iaitu perlu membayar fidyah dan menggantikan puasa.

“Warga emas (uzur) dan mereka yang menghidapi penyakit tiada harapan untuk sembuh tidak diwajibkan mengganti puasa setelah membayar fidyah.

“Sementara, wanita hamil, ibu yang menyusukan anak, orang yang melambatkan ganti puasa perlu membayar fidyah dan wajib mengganti puasa. Sebaliknya bagi orang yang telah meninggal dunia, fidyah mereka hendaklah disempurnakan waris malah waris juga boleh menggantikan puasa bagi pihak si mati,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Bagaimanapun katanya, dengan membayar fidyah tidak bermakna seseorang itu tidak perlu menggantikan puasa tersebut yang wajib diganti mengikut bilangan hari ditinggalkan.

“Contohnya jika seseorang meninggalkan puasa selama tiga hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga tiga kali bulan Ramadan, maka kadar fidyahnya ialah: harga semasa secupak beras (675 gram) X tiga hari X tiga tahun,” katanya.

Menurutnya lagi, hasil kutipan fidyah akan disalurkan kepada golongan fakir atau miskin sahaja.

Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFirst), Universiti Teknologi Malaysia Dr Arieff Salleh Rosman berkata fidyah boleh dibayar di cawangan pusat zakat atau amil bertauliah sebelum tiba Ramadan tahun berikutnya bagi mengelakkan gandaan puasa.

“Hukum fidyah adalah wajib. Dan hukum mengganti puasa turut wajib disempurnakan seberapa segera kerana ia merupakan suatu tanggungan (hutang) kepada ALLAH S.W.T jika tidak dilaksanakan,” katanya.

Islam memudahkan cara sesuatu masalah maka setiap umat Islam perlu menyegerakan tuntutan agama dan menjauhi segala larangan yang telah ditetapkan di dalam agama, kata ilmuwan agama lulusan Universiti Mu’tah, Jordan itu.

Mengulas lanjut mengenai fidyah, Mufti Perlis, Datuk Dr Juanda Jaya berkata walaupun kadar fidyah agak murah namun ia wajib dilaksanakan kerana puasa Ramadan hukumnya wajib.

Beliau turut menasihatkan sebagai persediaan menyambut Ramadan, umat Islam digalakkan mengamalkan puasa sunat Syaaban bagi melatih serta mendisiplinkan diri masing-masing.

“Qadha (ganti) puasa juga boleh dilakukan pada bulan tersebut (Syaaban),” katanya menambah tiada faedah melengah atau menangguh kewajipan mengganti puasa jika ada kemampuan dan memiliki tahap kesihatan yang baik.

Ramadhan Bakal Menjelma, Fidyah Perlu Dibayar, Puasa Wajib Diganti



2 comments:

alhamdulillah semua dah settle. tunggu nak ramadhan aje. semoga Allah pjgkan umur untuk meraih ramahdan bulan yang mulia sekali lagi.. inshaaAllah.

10 June 2014 at 08:15 comment-delete

alhamdulillah..dah settle..tak sabar nak tunggu ramadhan akan datang

10 June 2014 at 08:30 comment-delete

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ