Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Jadi Hamba Suami

Gambar hiasan



SAYA ada terima kiriman emel daripada seorang pembaca yang saya akan rujuk beliau sebagai Puan H sahaja. Dia mengadu baharu bercerai dengan suaminya selepas 15 tahun berkahwin.

Perkahwinan atas dasar suka sama suka itu terpaksa diputuskan kerana Puan H tidak tahan lagi dengan perangai suami yang menggunakan perkahwinan itu sebagai tempat untuk si suami bergantung dari segi kewangan dan kesenangan hidupnya.

Dalam emel itu Puan H seorang yang berkerjaya profesional memberitahu, pada awal perkahwinan dia tidak kisah berkorban dan membantu meringankan beban kewangan suami dengan menanggung pelbagai perbelanjaan termasuk membeli kereta dan rumah yang diletakkan atas nama suami.

Puan H berharap bila beban kewangan semakin baik, maka suami akan menggunakan wang gajinya pula untuk keluarga. Namun, perkara itu tidak pernah berlaku.

Akibatnya kata Puan H, dalam tempoh 15 tahun perkahwinan itu, duit simpanannya berjumlah RM300,000 habis dibelanjakan untuk keperluan suami.

Lebih menyedihkan kata Puan H, rumah yang dibeli menggunakan duitnya tetapi diletakkan nama suami telah dijual oleh suami tanpa pengetahuannya.

Melalui emel itu, Puan H ingin tahu sama ada dia mempunyai hak untuk membuat tuntutan di mahkamah bagi menuntut kembali semua wang yang telah dibelanjakan untuk bekas suaminya dalam tempoh 15 tahun perkahwinan mereka itu.

Saya harap Puan H dapat bersabar dengan dugaan ini di samping mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi. Ini yang dikatakan harapkan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Bagi wanita yang telah banyak mengeluarkan duit untuk suami, atau yang menanggung semua perbelanjaan rumahtangga termasuk menanggung suami, perlu dibuat surat pengakuan hutang yang ditandatangani oleh pihak yang berhutang (suami) dan pihak yang memberi hutang (isteri), supaya tuntutan lebih senang dibuat jika bercerai kerana ada perjanjian secara bertulis.

Perjanjian bertulis adalah bukti kukuh yang sukar disangkal. Beringat sebelum kena dan sediakan payung sebelum hujan adalah dua pepatah melayu yang harus disemat di hati para isteri walaupun berkahwin atas dasar saling mencintai, kerana langit tidak selalu cerah.

Menyara keluarga adalah dipertanggungjawabkan ke atas suami. Apabila sempurna saja ijab kabul sesuatu perkahwinan, maka tanggungjawab terus wujud di bahu suami.

Penyaraan nafkah bermaksud suami menanggung semua perbelanjaan isteri yang meliputi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan perubatan. (rujuk Surah al-Talaq ayat 7).

Apabila suami tidak memenuhi kewajipannya maka isteri berhak menuntut. Namun begitu, isteri berhak mendapat hak nafkah dari suaminya hanya selama mana isteri taat kepada suaminya mengikut hukum syarak.

Suami juga hanya menanggung semua perbelanjaan isteri hanya selagi perkahwinan masih wujud.

Sekiranya suami meminta wang isteri dan isteri memberikan dengan rela hati tanpa sebarang paksaan dengan niat untuk membantu suami, ia tidak dianggap sebagai hutang.

Sekiranya suami meminta duit isteri dengan cara memaksa dan tanpa kerelaan isteri, maka isteri berhak menuntut duit itu daripada suami kerana ia dianggap sebagai hutang.

Walaupun tiada peruntukan khusus mengenai hutang piutang antara suami isteri, seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 menjelaskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa mendengar serta memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan itu adalah orang Islam.

Tindakan itu berkaitan dengan pertunangan, perkahwinan, rujuk, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz atau perkara pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara berkaitan perhubungan suami isteri; apa-apa pelupusan atau tuntutan harta yang berbangkit daripada mana-mana perkara dinyatakan di atas.

Dalam kes Moriazi Mohamad lawan Ajmawati Attan, Mahkamah Rayuan Syariah Selangor memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Syariah mempunyai bidang kuasa membicarakan tuntutan hutang piutang, walaupun tiada peruntukan khusus mengenainya.

Tuntutan hutang piutang itu terbit daripada perkahwinan mereka.

Sama seperti dalam kes Puan H, iaitu wujudnya hutang bekas suami kepada puan adalah daripada perkahwinan antara puan dengannya (bermakna jika puan tidak berkahwin dengan bekas suami, perkara hutang piutang ini tidak berlaku). Maka, Mahkamah Syariah berkuasa mendengar dan memutuskan tuntutan puan.

Ini dikuatkan lagi dengan peruntukan dalam seksyen 245(2) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Selangor 2003 bahawa jika wujud lacuna (lompang/loopholes) atau jika apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata oleh enakmen ini, mahkamah hendaklah memakai hukum syarak.

Seksyen ini memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menggunakan peruntukan hukum syarak kerana peruntukan khusus tidak wujud dalam mana-mana undang-undang bertulis dalam hal ini.

Berdasarkan peruntukan undang-undang yang disebut di atas dan kes Mahkamah Rayuan Syariah Selangor yang diputuskan itu, puan boleh menuntut hutang suami terhadap puan di Mahkamah Syariah dan bukan di Mahkamah Sivil.

Dalam kes puan, beban pembuktian adalah di atas puan. Ini bermakna, puan harus membuktikan bahawa suami puan telah berhutang dengan puan, sebanyak yang dituntut.

Untuk ini, lebih kukuh jika puan dapat mengemukakan saksi, bukti dokumen, lain-lain bukti bertulis dan lisan dan sebarang bentuk bukti bagi menyokong keterangan.

Berhubung had masa pula, berbeza tuntutan hutang di Mahkamah Sivil yang hanya boleh dibuat dalam tempoh enam tahun daripada tarikh keingkaran, di Mahkamah Syariah dan dalam hukum syarak tidak memperuntukkan masa seperti itu. Ini bermakna tiada had masa bagi tuntutan di Mahkamah Syariah.

Tuntutan hutang juga tidak akan memprejudiskan tuntutan lain yang puan failkan terhadap bekas suami seperti mutaah dan harta sepencarian.

Merujuk kepada adakah harta puan adalah hak milik puan sepenuhnya atau turut menjadi hakmilik suami? Ada beberapa hadis dan hukum oleh para ulamak mengenai kedudukan harta isteri, antaranya: Harta isteri adalah hakmilik penuh isteri. Harus ia membelanjakannya mengikut kehendaknya asalkan perbelanjaan itu bukan munkar dan maksiat. Begitu juga, tidak harus suami mengambil harta milik isteri melainkan dengan kerelaan dari isteri.

Sabda Rasulullah saw: “Tidak halal harta seorang Muslim yang lain melainkan dengan kerelaan hatinya" (HR Imam ad-Daruqutni dari Anas bin Malik).

Para ulama pada Persidangan Fiqh kali ke 16, pada 9-14 April 2005, di Dubai memutuskan: “Isteri mempunyai hak mutlak dalam lingkungan hukum-hakam Syariat bagi harta/wang yang ia perolehi dari pekerjaannya. Kekayaan peribadinya adalah milik penuhnya. Ia mempunyai hak pemilikan dan hak berbelanja bagi harta yang ia miliki dan suami tidak mempunyai kuasa ke atas harta miliknya. Ia juga tidak memerlukan izin dari suami untuk memiliki dan berbelanja dari harta miliknya."

Dalam kitab Maratib al-Ijma’ ada ditegaskan: “Para ulama telah sepakat menegaskan bahawa tidak halal suami bersedekah dari harta milik isterinya melainkan dengan izin isterinya." (Maratib al-Ijma’, Imam Ibnu Hazm, 1/92).

Ijmak para ulama turut menegaskan bahawa: “Suami tidak berhak menghalang isterinya yang berakal dan cerdik berbelanja dari hartanya sendiri dalam perbelanjaan yang berbentuk tukaran seperti berjual-beli, memberi upah dan sebagainya."

Harta isteri adalah miliknya maka isteri berhak menyembunyikannya dari diketahui oleh orang lain termasuk suami lebih-lebih lagi jika ada keperluan untuk isteri berbuat demikian dan mengelakkan kemudaratan.

Suami yang baik tidak patut mengambil kesempatan dengan mengambil harta isteri dengan sengaja atas alasan pinjaman tetapi kemudiannya tidak membayar pinjaman itu atas alasan wanita itu isterinya. Salah satu tanggungjawab utama seorang suami terhadap isteri adalah berlaku adil kepadanya kerana isteri itu adalah amanah Allah yang diserahkan kepada si suami.

Suami hendaklah menjaga si isteri dan bukannya memperhambakannya. - utusan online





0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ