Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Malaysia Tegas Tolak Cadangan Berkaitan Hak Intelek Berkaitan Ubat Dalam TPPA

TPPA


Sebelum itu baca di sini - kalau nak tahu serba sedikit pasal TPPA dan dakwaan bro bradokapak dari blog dramaraja.blogspot pasal perjanjian TPPA yang melibatkan makanan dan ubat-ubatan ini. 


Malaysia bertegas akan menolak cadangan berkaitan hak harta intelek dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) membabitkan ubat-ubatan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan sedar perkara itu menjadi kebimbangan rakyat negara ini kerana cadangan berkenaan akan menaikkan harga ubat-ubatan di pasaran.

“Dalam hal ini isu utama adalah kita dipanggil untuk melanjutkan tempoh paten, sekarang ini 20 tahun.

“Apabila ini berlaku ia akan melambatkan pengenalan ubat-ubatan generik, maka akan meningkatkan harga ubatan. Bagi Malaysia ini satu perkara yang penting dan Malaysia bertegas dalam hal ini,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan taklimat khas bersama warga agensi Berita nasional itu di ibunegara hari ini.

Beliau berkata selain Malaysia, terdapat beberapa negara lain yang turut menolak cadangan itu.

“Jadi kebimbangan ini tidak harus menular dalam masyarakat kita kerana yang nak melanjutkan tempoh paten ini bukan semua, terdapat beberapa negara bersama dengan kita sekeras-kerasnya menentang usaha untuk melanjutkan paten,” katanya.

Ubat-ubatan yang telah tamat tempoh patennya akan dikategorikan sebagai ubat generik, dan boleh dihasilkan oleh mana-mana syarikat termasuk syarikat tempatan sekaligus menawarkan ubat-ubatan dengan harga jauh lebih murah.

Rundingan TPPA membabitkan Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Pada mesyuarat TPPA peringkat menteri di Singapura Februari lepas, tujuh perkara diperhalusi termasuk hak harta intelek. - Bernama


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ