Gadis Menderita Daging Badannya Mengeras Menjadi Tulang
SETIAP langkah dan pergerakan dalam kehidupan harian Lucy Pratt perlu sentiasa dilakukan secara berhati-hati.
Luka kecil akibat terhantuk atau terjatuh boleh bertukar menjadi igauan ngeri kepada gadis berambut perang ini.
Manakan tidak, wanita yang berasal dari Stourbridge, West Midlands, England ini menghidap sindrom pelik yang menyebabkan dagingnya mengeras menjadi tulang.
Pratt langsung tidak boleh terluka kerana setiap kecederaan yang dialami walaupun sedikit sudah cukup untuk mempercepatkan pembekuan daging menjadi keras.
Cerita Pratt, dia mula mengalami gejala tersebut ketika berusia 15 tahun.
Katanya, seperti kanak-kanak lain, dia menjalani kehidupan normal sehinggalah pada suatu hari, dia terjatuh semasa sedang bermain.
Tanpa disangka, satu benjolan besar timbul pada belakang badannya dan semakin membengkak setiap hari sehingga dia berasa sangat sakit.
"Benjolan itu sebesar tapak tangan dan berwarna kemerah-merahan. Saya tidak boleh baring atau meletakkan sebarang beban di kawasan yang tercedera kerana terlalu sakit," tuturnya seperti dipetik portal Daily Mail.
Bimbang dengan keadaan kesihatan Pratt, ibu bapanya, Nick dan Sheryll Hadley membawa anak gadis mereka ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Keputusan ujian biopsi pada mulanya mendapati dia menghidap penyakit nekrosis miositis proliferatif yang mana gentian otot dan kulit menjadi bengkak serta kemerah-merahan.
Aktiviti lasak
Bagaimanapun, dia disahkan menghidap fibrodisplasia osfikans progresiva (FOP) apabila salah seorang doktor mendapati ibu jari kaki kanannya lebih kecil berbanding kaki kiri yang mana keadaan itu merupakan gejala umum pesakit FOP.
Ujian X-ray serta beberapa pemeriksaan lain turut mengesahkan bahawa Pratt menghidap penyakit tersebut.
Dalam usia yang baru menjangkau 27 tahun, wanita ini sudah tidak mampu menggerakkan sebahagian tubuh termasuk leher kerana kesan kecederaan yang berlaku sebelum ini.
Dia tidak lagi dibenarkan melakukan aktiviti lasak dan sukan kerana dikhuatiri akan ditimpa kecederaan serius.
"Saya tidak mampu memandu kereta, memakai baju serta menyikat rambut," katanya sambil memberitahu, semua itu terpaksa dilakukan dengan bantuan ibunya.
Walaupun masih dapat berjalan, pergerakannya sangat terbatas. Dia juga tidak boleh mengangkat tangan melepasi paras kepala.
Keadaan itu dikatakan akan terus merebak ke bahagian lain tubuh dan menjadi lebih teruk pada masa akan datang.
Dalam kata lain, wanita ini sedang bertarung dengan masa sebelum seluruh badannya menjadi kaku seperti batu dan terperangkap dalam tubuh sendiri.
Meskipun kesihatan fizikalnya tidak seperti manusia normal, gadis ini berjaya menghabiskan sesi persekolahan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Mutasi tisu
Malah, lulusan Universiti Oxford dalam bidang Sains Fisiologikal itu kini bekerja sepenuh masa dengan sebuah syarikat penerbitan sains bioperubatan di London.
Menurut pakar perubatan dari Universiti Oxford, Prof. Dr. Paul Wordsworth, kecederaan juga boleh membuatkan sendi-sendi pesakit menjadi keras kerana pertumbuhan tulang berlaku tanpa henti.
Jelasnya, pertumbuhan tulang berkembang dari atas ke bawah sama seperti pertumbuhan tulang ketika di peringkat janin.
Kebiasaannya, keadaan ini akan bermula pada leher dan seterusnya merebak ke bahu, lengan, dada dan kaki.
Namun, dalam sesetengah kes, penyakit ini juga bermula pada bahagian punggung, perut dan akhir sekali kepala.
Wordsworth memberitahu, setakat ini, masih belum ada penawar untuk merawat penyakit berkenaan.
"Apa yang boleh dilakukan hanya proses melewatkannya supaya tidak merebak dengan cepat selain menjalankan pembedahan pengasingan gen yang menyebabkan daging menjadi keras.
"Tulang yang terus tumbuh tanpa henti juga perlu dipotong bagi melambatkan proses ini," ujarnya.
1 comments:
pertama kali dengar penyakit macam ni..
harap dipermudahkn segala urusan..
Post a Comment