Suami 'Hadiahkan' Isteri HIV
SEWAKTU dimaklumkan bahawa ujian darahnya menunjukkan dia positif HIV, air mata wanita ini mengalir deras.
Perasaannya berbaur. Fikirannya dicengkam dengan pelbagai ketakutan.
Entah apa dosanya, ujian datang bertubi-tubi. Berita itu diterima tidak lama selepas dia bercerai dan bersendirian membesarkan anak-anak.
"Doktor panggil saya dan terangkan mengenai HIV.
"Dia tunjukkan saya graf yang menerangkan apa yang akan terjadi kepada saya dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Pada waktu itu, saya ingat mati sahaja," ujar penghidap HIV positif sejak 14 tahun lalu, Norlela Mokhtar. Dia disahkan menghidap HIV ketika berusia 36 tahun.
Norlela memilih untuk mengunci mulut daripada berkongsi musibah tersebut dengan ahli keluarga yang lain sementelah dia masih sihat. Tiada tanda-tanda virus pencetus sindrom kurang daya tahan melawan penyakit (AIDS) itu sedang memamah tubuhnya.
Namun, selepas tiga tahun, sistem imunisasi badannya semakin merosot mendadak.
Daripada 50 kilogram (kg), berat badannya turun mendadak kepada 30kg.
"Badan saya kurus sangat, tinggal kulit dengan tulang sahaja.
"Muka cengkung, badan berasa lemah selain kerap demam," cerita Norlela yang pada masa itu bekerja sebagai kerani dengan gaji tidak sampai RM1,000 sebulan.
Doktor menyarankan dia supaya mula mengambil ubat bagi mengekalkan sistem imunisasinya.
"Tetapi saya tiada duit untuk beli ubat tersebut sebab harganya mahal iaitu antara RM700 hingga RM1,000 sebulan. Duit yang ada cuma cukup untuk perbelanjaan anak-anak," katanya.
Pada tahun 2005, Norlela yang menetap di Dato Keramat, Kuala Lumpur terlantar selama tiga bulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya selepas dia diserang batuk kering.
Sejak itulah, anak-anaknya tahu yang ibu mereka berdepan penyakit yang tiada penawarnya. Mujurlah semua ahli keluarga dapat menerimanya.
HASIL kraf tangan yang dihasilkan oleh penghuni seperti gelang manik akan dijual sebagai pendapatan sampingan.
Rumah perlindungan
Malah, anak sulung perempuannya sanggup menangguhkan pengajian demi menjaga Norlela di hospital.
"Masa itu terdetik dalam hati saya, mungkin sudah tiba waktunya ramalan doktor tiga tahun lalu menjadi kenyataan.
"Saya berdoa kepada Allah, kalau Dia nak ambil nyawa saya, tunggulah sehingga anak-anak saya besar dan boleh berdikari dulu," cerita Norlela.
Selepas pulih, bekas graduan Universiti Teknologi Mara Dungun, Terengganu itu banyak menyertai aktiviti sukarelawan melibatkan insan yang senasib dengannya.
Memikirkan stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap penghidap HIV, wanita ini kemudian menubuhkan sebuah pusat perlindungan wanita HIV.
Terletak di penghujung Jalan Haji Baie di Kampung Paya Jaras Hulu, Sungai Buloh, Selangor, tersergam sebuah rumah lot berpagar.
"Di sinilah kami tinggal menjalani kehidupan seharian," ujar Norlela, 50.
Kelas harian
Diberi nama sebagai Rumah Wahidayah, pusat perlindungan yang terletak di kawasan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar itu diusahakan sepenuhnya oleh Persatuan Wahidayah Malaysia (Pewahim) yang diterajui oleh Norlela.
SEHINGGA kini, seramai 46 orang telah menghuni di rumah Wahidayah di bawah Pewahim untuk mendapatkan bantuan dari segi fizikal dan mental.
Biarpun baru beroperasi sejak Disember tahun lalu, usaha Pewahim untuk membantu golongan wanita dijangkiti HIV sudah bermula sejak awal tahun 2012.
Pada waktu itu, pusat perlindungan tersebut menggunakan sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa di Bandar Baru Sungai Buloh.
"Tujuan rumah ini ialah untuk menyediakan penempatan asas yang selamat bagi wanita dan juga kanak-kanak yang terjejas oleh epidemik HIV.
"Di sini kami berikan mereka perkhidmatan kesihatan, keperluan asas dan sokongan moral untuk mereka bangkit meneruskan kehidupan," ujar Norlela yang pernah berkhidmat untuk Majlis AIDS Malaysia (MAC).
Menurut Norlela, penghuni Rumah Wahidayah memiliki jadual harian yang perlu diikuti.
Antaranya, solat secara berjemaah, beriadah, serta mengikuti kelas agama dan motivasi.
Penghuni juga diajar memasak, menjahit, dan membuat barangan kraf tangan seperti gelang manik.
"Hasil kraf tangan itu akan dijual pada majlis atau pameran yang disertai Pewahim," ujar Norlela yang memberitahu, rumah tersebut mampu memuatkan kira-kira 20 penghuni pada satu-satu masa.
Katanya, rata-rata individu penghuni rumah itu terdiri daripada kelompok suri rumah dan wanita yang pernah terjebak dengan gejala sosial sehingga dijangkiti HIV.
Seperti Norlela yang mendapat HIV daripada bekas suami keduanya, sesetengah penghuni Rumah Wahidayah mengalami perkara yang sama.
"Mereka bukan pekerja seks atau pengamal seks bebas, tetapi kita seringkali terlupa bahawa wanita yang bergelar isteri yang duduk di rumah juga berisiko untuk mendapat HIV menerusi suami sendiri," katanya.
Rumah tersebut boleh dianggap sebagai pusat khas sementara bagi membina semula keyakinan diri golongan wanita HIV.
"Di sini, kami hanya mahu pulihkan semangat mereka. Emosi mereka kadang-kadang tidak menentu sehingga tak mahu makan ubat dan menjejaskan kesihatan mereka," ujar Norlela yang banyak menerima penghuni yang dirujuk kepadanya oleh Hospital Sungai Buloh.
Penghuni
Sehingga kini, katanya seramai 46 orang wanita berumur antara 16 hingga 48 tahun telah mendapatkan perlindungan di situ.
Bagi seorang penghuni yang mahu dikenali sebagai Nurul, 35, dia merasakan rumah tersebut banyak membantu mengembalikan semangatnya yang hilang.
"Sewaktu mula-mula dihantar ke sini, keadaan saya agak teruk sehingga tidak boleh berjalan dan terpaksa pakai lampin.
"Tapi selepas tinggal di sini saya diberi jagaan dan dipantau supaya makan ubat mengikut waktu yang tepat. Alhamdulillah, sekarang keadaan saya semakin baik," ujar anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu.
Nurul terjebak dalam hubungan seks berisiko seawal usia 25 tahun.
Namun, anak keempat daripada enam beradik hanya mengetahui dirinya positif HIV ketika berusia 30 tahun selepas menjalankan ujian saringan darah.
"Waktu dapat tahu itu, saya rasa macam nak bunuh diri.
"Tambahan pula, saya sudah merancang untuk berkahwin," katanya.
Sememangnya stigma masyarakat Malaysia terhadap golongan HIV masih lagi menebal.
"Sebagai contoh, kami masih menerima laporan bahawa terdapat keluarga yang meninggalkan anak-anak mereka yang hidup dengan HIV atau mengasingkan perkakas dan pakaian mereka jika tinggal serumah.
"Ada juga insiden penghidap HIV dilayan buruk sewaktu mendapatkan rawatan," ujar Setiausaha Kehormat MAC, Hisham Hussein.
Tambahnya prasangka negatif masyarakat sekeliling itulah yang menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan sehingga tahap kesihatan merosot dan terlewat untuk dirawat.
"Orang yang hidup dengan HIV berhak untuk mendapat layanan dan perlindungan daripada sebarang bentuk penindasan dan amalan prejudis," katanya yang mengakui golongan wanita khasnya suri rumah antara golongan yang mencatatkan jumlah kes HIV yang tinggi di negara ini. - Kosmo
0 comments:
Post a Comment