Kos Pencarian MH370 Sudah Lebih RM300 Juta
18/4/2014 - PENCARIAN pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 bakal mencatat kos paling mahal dalam sejarah dunia penerbangan sementelah usaha mencarinya di Lautan Hindi masih belum menemui sebarang petunjuk, menurut pihak penganalisis.
Setakat ini, Australia yang mengetuai misi pencarian di kawasan yang disifatkan ‘tidak diketahui manusia’ itu tidak meletakkan sebarang angka, namun Malaysia telah diberi amaran bahawa kosnya akan meningkat.
Mengimbas tragedi tersebut, pesawat MH370 yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal hilang dari radar sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan dipercayai terhempas di luar pantai Australia.
“Kalau pun kita menemui serpihan pada kedalaman 4.5 kilometer, tiada tentera di luar sana yang mempunyai kapasiti untuk melakukannya (operasi menyelamat),” kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Sementara itu, pakar penerbangan di Frost & Sullivan Asia Pacific, Ravikumar Madavaram berkata, Malaysia, Australia dan China merupakan penyumbang paling besar dan jumlah kos sehingga kini dianggarkan mencecah RM324 juta.
“Sukar untuk dinyatakan secara terperinci kos operasi ini…tetapi, ia sememangnya operasi terbesar dalam sejarah penerbangan. Secara tidak langsung, kosnya juga akan menjadi paling tinggi.
“Buat masa ini, persoalan mengenai kos mungkin dianggap ‘kurang sensitif’, namun selepas beberapa bulan, mungkin orang ramai akan mula mempersoalkannya,” jelasnya.
Pendapat Madavaram turut disokong dengan kenyataan penyelidik keselamatan pesawat Universiti Loughborough, Britain, David Gleave yang menyifatkan kosnya tetap akan mencecah ratusan juta ringgit jika pesawat itu dijumpai pada waktu yang terdekat ini.
Pentagon pada masa yang sama berkata, pada bulan pertama, Amerika Syarikat sudah membelanjakan hampir RM24 juta untuk mencari pesawat itu.
Bagaimanapun, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JCCC) berkata, fokus utama mereka sehingga ke saat ini ialah untuk terus mencari pesawat MH370 itu berbanding membincangkan sebarang isu mengenai kos.
“Ini merupakan pencarian paling sukar dan akan mengambil masa. Angka sebenar masih belum dikira. Kos dikongsi bersama oleh rakan negara yang menyumbang bantuan dari segi pegawai, tentera dan aset awamnya,” menurut jurucakapnya. - (Sumber: AFP) - mynewshub.my
0 comments:
Post a Comment