Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Bola Sepak: Selangor, Pahang, Terengganu, Perak Didenda RM75,000

Lari sedikit dari kisah MH370

Ramai yang kata banyak2 persatuan bola sepak sekarang, Johor yang paling bermasalah... tapi kenapa masih belum didenda? - pemerhati dari atas batu jer!!


Taufek Abdul Razak
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM

PETALING JAYA - Empat persatuan bola sepak negeri dikenakan denda berjumlah RM75,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ekoran tindakan penyokong mereka membakar suar, membaling mercun dan menggunakan bom asap di stadium ketika berlangsungnya perlawanan Liga Super musim ini.

Empat persatuan itu ialah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

PBNP didenda RM30,000 bagi enam pertuduhan melibatkan perlawanan menentang Lions XII dan pertembungan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Makmur pada 17 Januari dan 7 Februari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak (gambar) berkata, PBNP mengaku bersalah atas kesalahan penyokongnya membakar suar semasa perlawanan sedang berlangsung dan ketika tamat perlawanan menentang Lions XII selain gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi untuk para penonton yang hadir ke stadium semasa perlawanan itu.

“PBNP turut mengaku bersalah untuk tiga lagi pertuduhan sama melibatkan perlawanan menentang JDT. Bagi setiap satu kesalahan, pihak persatuan didenda sebanyak RM5,000," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM di Wisma FAM di sini semalam.

Taufek, memberitahu, FAS didenda sebanyak RM15,000 selepas mengaku bersalah bagi kesalahan penyokong melibatkan Ultras Selangor membakar suar selepas tamat perlawanan menentang T-Team di Stadium Petaling Jaya pada 18 Januari lalu.

FAS juga katanya, turut mengaku bersalah atas tindakan penyokong masuk ke dalam padang ketika perlawanan selain kegagalan menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi untuk para penonton yang hadir ketika itu.

“PAFA dikenakan denda berjumlah RM20,000 selepas mengaku bersalah bagi empat pertuduhan termasuk tindakan penyokong membakar mercun ketika pemain menjaringkan gol ketika perlawanan menentang Terengganu pada 25 Januari lalu di Stadium Perak.

“Tiga lagi kesalahan melibatkan pembakaran mercun selepas tamat perlawanan, tindakan penyokong membakar suar dan gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi semasa perlawanan berlangsung," katanya.

Beliau memberitahu, T-Team pula didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah bagi dua pertuduhan melibatkan penyokong masuk ke padang ketika perlawanan menentang JDT di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 25 Januari lalu.

“Selain denda, kesemua empat persatuan terlibat diberikan amaran keras bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Hari ini mereka bernasib baik kerana didenda dalam jumlah yang kecil kerana bagi kesalahan melibatkan aspek keselamatan pihak persatuan bola sepak negeri boleh dikenakan denda sehingga RM100,000," katanya.

Dalam perkembangan sama, Taufek memberitahu, hasil mesyuarat jawatankuasa itu turut memutuskan untuk menangguh keputusan berhubung isu keselamatan dan pembakaran suar melibatkan penyokong Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) ketika perlawanan di antara Sarawak dengan ATM di Stadium Selayang pada 18 Januari lalu.

Katanya, penangguhan itu dibuat berdasarkan perkara 36.3 kod tatatertib FAM bagi membolehkan pihak jawatankuasa mendapatkan keterangan dan bukti daripada pihak yang terlibat dengan insiden itu.

“Keputusan mengenainya akan dibuat pada suatu tarikh lain yang akan ditetapkan. Dalam insiden itu, FAS tidak mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan pembakaran suar dan aspek keselamatan yang dipercayai melibatkan penyokong pasukan itu," katanya.

Mengulas mengenai insiden pembakaran suar ketika perlawanan Harimau Malaya menentang Filipina di Stadium Selayang, 1 Februari lalu, Taufek menegaskan, pihaknya tidak mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap penyokong yang terlibat kerana diluar bidang kuasa pihak jawatankuasa sebaliknya akan dirujuk kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya, seiranya penyokong Malaysia melakukan kesalahan semasa perlawanan antarabangsa hanya AFC atau FIFA boleh mengambil tindakan.

“Jawatankuasa Tatatertib FAM hanya berkuasa mengendalikan kes melibatkan perlawanan tempatan dan sekiranya terdapat penyokong yang melakukan kesalahan semasa perlawanan antarabangsa, pihak polis boleh mengambil tindakan terhadap mereka," katanya.





0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ