Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Kenyataan JAKIM Berkenaan Pengharaman Penggunaan Khidmat Bomoh Dalam Pencarian MH370



KENYATAAN MEDIA KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN PENGHARAMAN PENGGUNAAN KHIDMAT BOMOH YANG BERTENTANGAN SYARAK DALAM PENCARIAN MH370

Terlebih dahulu marilah sama-sama kita menginsafi bahawa sesungguhnya kekuasaan ALLAH meliputi semua ciptaanNya. Apabila Allah menghendaki sesuatu, maka Dia hanya memerintahkannya sahaja, begitulah hebatnya kekuasaan ALLAH SWT. Sebagai manusia yang diciptakan olehNya, Dia menguji kita dengan pelbagai ujian demi untuk kesempurnaan manusia itu sendiri. Allah tidak akan menguji manusia di luar kemampuannya. DIA menguji kita dengan pelbagai dugaan dalam taraf kemampuan manusia dan setelah disediakan dengan segala alat kelengkapan pada diri manusia itu sendiri.

JAKIM menyelar usaha pihak-pihak yang mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha pencarian pesawat MH370 yang secara jelas adalah bertentangan dengan Islam. Hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak. Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim di www.islam.gov.my.

Walaupun kita amat sedih dengan ujian yang sedang menimpa kita. Tatkala pelbagai usaha yang telah kita lakukan oleh pihak berkuasa dan dengan pelbagai jenis teknologi dan aset sama ada dari negara kita dan dari negara-negara luar yang sudi menghulurkan tangan, kita masih menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk dalam tempoh 3 hari ini. Namun kita tidak boleh berputus asa dan wajib terus memohon pertolongan Allah swt.

Dalam satu Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004 telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan. Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa Raja Bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam. Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat.

Mana-mana pihak juga adalah dilarang mengelirukan masyarakat dengan penggunaan kalimah arab sebagai cara untuk menunjukkan ia adalah bertepatan dengan syarak sedangkan hakikatnya pengamalan, bacaan dan prosedur yang digunakan adalah jelas bertentangan dengan syarak.

Sehubungan dengan itu, saya mengingatkan semua msyarakat khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan/atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam. Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah swt.

Umat islam harus menyakini bahawa ALLAH SWT adalah sebaik-baik tempat bergantung dan bertawakkal. Setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan maka kita sebagai hamba Allah harus terus berdoa bermohon kepada Allah yang maha Kuasa. Saya yakin kita akan berjaya temui petunjuk terhadap misteri kehilangan pesawat ini atas izinNya jua.

Sekian, terima kasih.


BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA

‘Saya Yang Menurut Perintah’

DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
12 Mac 2014


Baca juga di sini:



1 comments:

bomoh tu btk ke idok xthulah..huhu

13 March 2014 at 11:09 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ