MH370: Pengumuman PM Beri Kelegaan Kepada Keluarga
PUTRAJAYA 15 Mac - Pengumuman terkini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkembangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 ternyata memberi kelegaan kepada keluarga penumpang.
Bapa kepada Khairul Amri Selamat, Selamat Omar, 60, berkata, dia begitu bersyukur dengan berita perkembangan pesawat tersebut dan secara tidak langsung memberi harapan baharu kepada mereka.
"Sebelum ini selama lapan hari kami tidak mendapat khabar pengumuman yang memberi kepastikan kepada keluarga penumpang.
"Saya amat berterima kasih dan berharap pihak kerajaan akan meneruskan pencarian agar operasi ini akan lebih berjaya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menonton pengumuman Perdana Menteri berhubung perkembangan terkini pesawat MH370 di Hotel Everly di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Tumpuan pencarian MH370 kini di dua koridor
KUALA LUMPUR 15 Mac - Pesawat MH370 yang memasuki hari kelapan hilang sejak 8 Mac lalu disahkan telah berpatah balik dengan Sistem Laporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) dimatikan secara sengaja sebelum menghampiri pantai timur Semenanjung, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam sidang akhbar khas di Hotel Sama Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini itu, Najib berkata, komunikasi terakhir antara MH370 dan satelit adalah pada pukul 8.11 pagi, Sabtu lalu.
"Transponder dimatikan ketika pesawat MH370 menghampiri sempadan Vietnam.
"Justeru, berikutan perkembangan siasatan terbaharu ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 di Laut China Selatan dihentikan.
"Tumpuan pencarian MH370 kini adalah di dua koridor iaitu Koridor Utara dari utara Thailand sehingga sempadan Kazakhstan dan Koridor Selatan bertumpu dari utara Indonesia sehingga selatan Lautan Hindi," kata beliau.
Tumpuan siasatan kehilangan MH370 kini, kata Najib, adalah ke atas penumpang dan anak kapal pesawat.- UTUSAN ONLINE.
MH370: Kemungkinan dirampas
SEPANG 15 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya masih menyiasat kemungkinan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dirampas.
Katanya, pesawat tersebut mungkin terbang sejauh Kazakhstan dan Indonesia. - UTUSAN ONLINE
Sistem komunikasi dipadam, siasat kemungkinan rampasan
1 comments:
Semoga semua sihat belaka
Post a Comment