Eksklusif #MH370: Pasukan Penyiasat China Tumpu Kepada Juruterbang




Sumber dalaman pasukan penyiasat China dalam kes kehilangan misteri MH370 memberitahu Mynewshub, pasukan itu turut memfokuskan penyiasatan mereka terhadap juruterbang pesawat berkenaan, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Fokus itu berikutan tindakan juruterbang berkenaan membina alat simulasi penerbangan sendiri di rumahnya.

“Apakah tujuan seorang kapten kapal yang sudah berpuluh tahun berkhidmat dan memiliki 18,000 jam lebih masa penerbangan mencipta alat simulasi sendiri di rumahnya?

“Apakah dia tidak puas lagi menaik dan menurunkan kapal terbang atau dia sedang berlatih untuk mendaratkan kapal di kawasan luar landasan sebenar, semua aspek itu perlu diambil kira” kata sumber itu dalam perbualan melalui telefon.

Sebelum ini, data pemantauan awal yang diperiksa oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon mendapati pesawat MH370 yang hilang pagi Sabtu, tidak meletup di Laut China Selatan.

Menurut laporan The New York Times, yang memetik sumber seorang pegawai kerajaan negara itu, satu sistem yang memantau letupan di seluruh dunia telah digunakan untuk pemantauan awal tersebut namun ia tidak mengesan sebarang tanda letupan di kawasan perairan itu.

Pegawai yang ditemuramah oleh The New York Times itu bagaimanapun enggan mendedahkan namanya atas alasan maklumat yang diberi adalah sulit.

Lebih menimbulkan misteri ialah tiada sebarang panggilan kecemasan yang dibuat kapten kapal berkenaan dan masuk hari ke-4, belum ada satu serpihan kecil pun yang ditemui.

Sehingga kini, segala bukti memperlihatkan kapal terbang berkenaan memang tidak meletup di udara.

Manakala dakwaan seorang nelayan tempatan yang melihat sebuah kapal yang menepati deskripsi MH370 terbang rendah pada malam kejadian turut menimbulkan spekulasi apakah ia cuba mengelak dari dikesan oleh radar.

Laporan ahli keluarga warga China dikatakan berjaya menghubungi telefon bimbit milik abangnya yang dikatakan berada di atas MH370 menambahkan lagi misteri dan menarik minat pasukan penyiasat China.

Telefon berkenaan yang dikatakan berdering kemudian seperti dijawab namun kemudian terus terputus tanpa ada kedengaran apa-apa suara.

Ahli keluarga berkenaan dikatakan telah memaklumkan mengenai perkembangan itu di dalam laman web MAS dalam satu ruang perbincangan dan siasatan berkenaan perkara itu dijalankan oleh syarikat penerbangan terbabit.

Kejadian itu turut dilaporkan oleh laman web LiveLeak.com.

“Banyak perkara yang menimbulkan keraguan, sebab itu pasukan penyiasat China telah meminta semua maklumat berkaitan kapten kapal tersebut daripada kerajaan Malaysia,” katanya.

Sumber itu bagaimanapun menegaskan, siasatan itu adalah rutin yang perlu dilakukan dan pihak itu bukan melamparkan tuduhan ke atas kapten berkenaan.

“Aspek ini perlu dipertimbangkan, memandangkan begitu banyak misteri yang menyelubungi kehilangan kapal berkenaan,” katanya.

Pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam awal Sabtu lepas dan sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Ia bagaimanapun hilang dan terputus komunikasi dengan menara kawalan udara di Subang pada pukul 2.40 pagi.

Menurut laporan awal, sepanjang penerbangan komunikasi menara kawalan dengan juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun berjalan lancar tanpa isyarat kecemasan ataupun masalah diberikan oleh pengendali pesawat kepada menara kawalan.

Perhubungan terputus selepas komunikasi menara kawalan di Subang menyerahkan komunikasi pesawat MH370 kepada menara kawalan udara di Ho Chi Minh City, Vietnam kerana pesawat itu sudah menghampiri ruang udara Vietnam dalam penerbangan ke Beijing, China. -Mynewshub


0 comments:

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ