Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



MH370: Misteri, konspirasi, satu suara dan doa...



PESAWAT Malaysia Airlines (MAS) tidak akan hilang begitu sahaja. Semuanya ada sebab-musabab. Saya doakan semasa tulisan ini dalam proses percetakan atau semasa ia sedang dibaca, MH370 akan ditemui.

Mustahil ia boleh hilang begitu sahaja. Kecualilah jika ada satu `konspirasi maha besar’ melibatkan unsur-unsur duniawi atau alam ghaib, insya-Allah pesawat itu akan ditemui.

Bercakap mengenai konspirasi alam duniawi, ada bermacam-macam teori telah timbul. Yang menakjubkan ia ditulis dengan begitu terperinci, logik dan teliti sekali. Jika diikut akal ada logiknya. Misalnya melalui tulisan yang sedang berlegar sekarang oleh `al-faedah’ berhubung soal `red flag atau false flag’.

Saya tidak mahu mengulas mengenai tulisan itu, tetapi cukup kagum juga dengan usaha yang diambil oleh penulis itu untuk menulisnya dengan begitu detail sekali. Sehingga saat ini saya masih cuba menyelami teorinya dan cuba membaca fikirannya.

Saya juga tertarik untuk memikirkan mengenai teori peralatan simulasi yang dimiliki oleh juruterbang itu dan haluan politiknya. Bagi saya tidak adil untuk mengaitkan semua itu dengan juruterbang berkenaan - waima ia logika sekalipun.

Jika dikaji dari segi usaha mencari dan menyelamat, sudah tentu Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang mengetuai operasi itu akan menolak mentah-mentah semua teori itu.

Tetapi dalam dunia alam maya ini pelbagai teori boleh dilahirkan oleh sesiapa pun di luar sana. Ia lebih membabitkan naluri manusia dan itu adalah normal.

Jika semasa tragedi pesawat terhempas di Pasir Gudang pada 1977 dulu, pelbagai spekulasi berkisar kepada cakap mulut dan akhbar sahaja, dunia digital sekarang telah mengubah sama sekali landskap komunikasi.

Maka itu, terpulanglah kepada kita di alaf baru ini untuk menilai dan memperhalusi maklumat-maklumat sedemikian.

Anggaplah ia sebagai "masuk ke kiri keluar telinga kanan" atau ia akan tertanam di fikiran kita? Atau adakah kita akan terpengaruh dengan pendapat-pendapat itu dan kemudian potong dan tampal tulisan-tulisan itu sehingga ia bercambah-cambah di media sosial? Atau, mungkin ia boleh dijadikan satu kajian imperikal saintifik kemudian hari?

Episod MH370 ini sebenarnya ada hikmahnya. Semua rakyat Malaysia kini bersatu - bersatu untuk mencari jalan, idea, mencipta teori, mengesyor cadangan dan sebagainya - membantu secara tidak langsung untuk merungkai misteri ini.

Walaupun ia tidak akan berupaya untuk mempengaruhi operasi DCA dan SAR, namun ia adalah amat positif.

Positif kerana rakyat Malaysia, sejak sekian lama atas kecelaruan politik, sudah bercakap dalam satu bahasa mengenai satu isu, iaitu mengenai nasib MH37 - dan, bukan lagi mengenai verdict Anwar bin Ibrahim dan nasib politiknya, selepas kurang 12 jam kes rayuannya diumumkan mahkamah!

Ingatlah rakyat Malaysia yang dikasihi, percayalah Allah pernah berfirman "mesti ada jalan keluar". Dalam episod pesawat malang MH370 ini, marilah kita terus berdoa dan bersolat hajat. Amin.

HARI ini pukul 2 petang di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan hadir dalam satu siri wacana profesional.

Ia akan berkisar mengenai isu negara bangsa - bangsa Melayu, rakyat Malaysia dan tanah air tercinta ini. Dan, akhirnya ke mana kita semua akan menuju?

Sudah tentu juga wacana itu turut berkisar mengenai Dr. Mahathir sendiri yang mentadbir negara ini selama 22 tahun serta soal-soal polisi beliau dan selepas eranya.

Ia akan dipermudah cara oleh dua orang alumni UiTM iaitu Datuk Kamaruddin Meranun (Pengerusi Eksekutif AirAsia) dan saya sendiri.

Wacana yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) dan Pusat Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN) universiti itu akan dihadiri oleh lebih 3,000 hadirin.

Berikut ialah sajak yang akan dideklamasikan oleh bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Prof. Dr. Hashim Yaacob yang juga alumni UiTM, pada majlis itu.

Renungilah bersama-sama sajak ini:

KE MANA KAU MELAYUKU

Melayuku di kala ini

di kampung dan di kota

sedang bersengketa mereka.

Berpecah dua dan tiga

Tidak lagi sekata.

Tidak nampak Melayuku ini

pada bara yang pantas menjadi unggun menunggu membakar mereka!

Mari Melayuku kita ke kota:

Melihat gedung jualan, dan

bangunan menyergam

kita pun berasa megah.

Kita pun menjadi jaguh

pada cakap dan pandang.

Yang menyergam itu bukan kita pemiliknya!

Mega pun mendung di langit kita

bumi dipijak rekah tanahnya.

Ombak mengganas di laut luas angin bertiup mati punca.

Di timur matahari tidak bersinar di barat cepat terbenam.

Di utara taufan melanda

di selatan api terpadam.

Kita pun memakai kelubung suram gelap pekat warnanya hitam.

Ini warkah durja.

Kutulis di tepian sumur air mataku yang masih boleh mengalir.

Kutulis dengan hati luluh

mengenang bangsaku.

Siapa!

Siapa berani meniup angin mengalihkan mendung mematikan taufan, menenangkan ombak,

membawa matahari kembali bercahaya,

menyuburkan bumi,

menyalakan api pelita?

Mari Melayuku kita fikirkan:

Apakah lima puluh tahun nanti di tanah pusaka turun temurun kita ini

kita masih jadi tuannya?

Mari kita fikirkan

cara memadamkan bara

yang kian mengunggun

Menanti membakar kita!

Kalau nanti orang bertanya

mengapa begini Melayu kita?

Katakan, itulah bangsa kita

yang bersengketa

mengambil mudah

dan pelupa.

DATUK PROFESOR

DR. HASHIM YAACOB
Petaling Jaya





1 comments:

Amin.

14 March 2014 at 22:16 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ