Obama: Malaysia Tidak Akan Berjaya Jika Bukan Islam Tidak Mendapat Peluang Yang Sama
27 April 2014 - Malaysia perlu memastikan masyarakat bukan Islam di negara ini mendapat peluang yang sama seperti majoriti penduduk beragama Islam jika negara Asia Tenggara itu mahu terus makmur, kata Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, dalam lawatannya ke Malaysia, 48 tahun selepas presiden terdahulu negara itu datang ke sini.
“Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama,” katanya dalam majlis pertemuan dua hala untuk belia Asean di Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hari ini.
Obama berkata, masyarakat bukan Islam di Malaysia pada masa ini berdepan permusuhan, dan ada yang rasa tertindas.
“Sepatutnya tidak ada alasan untuk diskriminasi, dan anda perlu memastikan anda menentang perkara ini dalam kehidupan harian.
“Dan apabila anda mula menjadi pemimpin, anda perlu berada di pihak politik yang membawa rakyat bersatu, bukan memisahkan mereka,” katanya.
Obama berkata demikian ketika menjawab soalan daripada seorang belia Myanmar mengenai faktor kerjasama yang boleh membawa Asean bersatu memandangkan negara Asean mempunyai kepelbagaian dan perbezaan.
Beliau berkata, sumber konflik terbesar dan peperangan serta kesukaran yang dilalui di dunia berpunca daripada masyarakat yang memberikan layanan berbeza kepada mereka yang tidak sama seperti mereka.
Katanya, situasi di Myanmar sekarang ialah negara itu melalui perubahan selepas berdekad ditindas kerajaan, dan negara itu kini cuba untuk bersikap lebih terbuka.
“Namun, bahayanya sekarang ialah mereka sedang mendemokrasikan, akan ada kumpulan dalam Myanmar yang mungkin menyusun diri mereka secara politik dengan identiti agama atau etnik, bukan berpegang kepada prinsip keadilan atau undang-undang dan demokrasi.
“Dan anda sebenarnya boleh lihat konflik yang akan membawa Myanmar ke arah yang tidak baik,” katanya dan menambah salah satu masalah di Myanmar ialah hak golongan minoriti masyarakat Islam di negara itu tidak dilindungi.
Obama berkata, situasi itu bukan berlaku di Myanmar sahaja, kerana di Malaysia, yang mempunyai populasi masyarakat Islam, ada keadaan di mana mereka yang bukan Islam mendapati diri mereka berdepan dengan permusuhan.
Katanya, di AS sendiri, mengikut sejarahnya, konflik terbesar timbul mengenai kaum, tetapi selepas beberapa generasi, keadaan itu diperbaiki, sehingga satu tahap, beliau boleh dipilih menjadi presiden.
“Kita semua, dalam diri kita ada rasa bias dan prejudis terhadap orang lain yang tidak sama seperti kita atau mereka yang tidak dibesarkan dengan keimanan yang sama atau datang daripada latar belakang berbeza, tetapi dunia semakin mengecil.
“Anda boleh berfikir seperti itu ketika tinggal berasingan di kampung-kampung dan puak berbeza dan tidak perlu ada hubungan komunikasi antara satu sama lain.
“Tetapi dengan adanya internet dan telefon pintar, budaya saling bercanggah, tidak ada negara yang boleh berjaya jika ada sebahagian populasinya diketepikan dan didiskriminasi,” katanya.
Katanya, perkara yang serupa boleh berlaku kepada negara ini, Malaysia tidak akan berjaya jika masyarakat bukan Islam tidak diberi peluang, dan perkara yang sama boleh berlaku di Myanmar jika populasi Islam terus tertindas.
“Malaysia tidak akan berjaya jika bukan Islam tidak mendapat peluang yang sama adil, Myanmar tidak akan berjaya jika populasi Islam di sana terus ditindas.
“Tidak ada masyarakat yang akan berjaya jika separuh daripada populasi wanita anda tidak menerima pendidikan dan peluang pekerjaan yang sama seperti lelaki,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru belia untuk meraikan budaya dan bangga dengan diri sendiri, dan pada masa sama menghargai perbezaan dalam bahasa, makanan dan bagaimana seseorang mempunyai cara berbeza dalam keimanan kepada Tuhan, serta menambah perbezaan itu adalah perkara yang patut dibanggakan dan bukan alat untuk memandang rendah kepada orang lain.
Beliau juga meminta generasi baru untuk cuba “berada di tempat seseorang yang berbeza dan melihat daripada kaca mata mereka”.
Obama berkata, hampir semua agama mengajar prinsip asas “berbuat baik kepada orang lain seperti mana anda mahu orang lain berbuat baik kepada anda” dan “beri layanan yang baik seperti mana anda mahu dilayan”.
“Jika anda tidak berbuat demikian, maka maknanya kita berpatah balik, bukan terus maju ke depan dan ini adalah benar untuk masyarakat seluruh dunia,” katanya di depan kira-kira 700 belia dan wakil persatuan awam.
0 comments:
Post a Comment