Nelydia Senrose Minta Restu Ibu
TURUN naik hubungan cinta mereka berdua sering mendapat perhatian umum. Malah, sesekali cinta yang disulam lebih setahun itu dikatakan goyah. Biasalah pasangan kekasih. Mesti ada bergaduh manja, tidak semestinya baik sepanjang masa.
Baik Qi mahupun Nelydia, masing-masing cuba untuk menafikan kontroversi negatif yang melibatkan hubungan mereka. Jawapan yang pasti, hubungan mereka tidak ada sebarang masalah dan masih baik seperti biasa.
Menyelusuri perasaan gadis berusia 20 tahun ini tentang perhubungan itu, dia masih tidak berani untuk menetapkan sebarang tempoh tertentu bagi mengikat tali pertunangan.
Malah, dia juga menganggap soal perkahwinan itu berada masih jauh daripada fikirannya. Bukan apa, kata Nelydia, sebelum kahwin, dia perlu mendapat restu daripada keluarga.
Kalau nak kahwin, saya kena minta restu keluarga terutama ibu. Kalau ibu sudah bagi lampu hijau untuk saya kahwin, saya pasti akan mula merancang untuk semuanya.
Buat masa ini, tiada lagi perancangan ke arah itu, cumanya kami memang ada berbincang tentang masa depan. Tetapi saya tetap tak berani nak cakap lebih-lebih.
Bagi saya, setiap hubungan hala tujunya pasti ke arah perkahwinan. Bagaimanapun, saya masih muda dan sibuk dengan kerjaya. Kalau boleh saya pun tak mahu kahwin lambat, dalam usia 24 atau 25 tahun dah cukup okey," katanya.
Kekasih cemburu?
Mengaku selesa dengan Qi, Nelydia yang ditemui pada majlis tayangan episod akhir drama 60 episod, Bukan Kerana Aku Tak Cinta (BKATC), dia memohon untuk tidak memperbesarkan lagi isu kemesraannya dengan Sharnaaz dalam drama berkenaan.
Adegan mesra itu hanya di lokasi dan dilakukan atas dasar profesional. Tidak perlu untuk diperbesarkan lagi walaupun masih ada yang mempertikaikan babak romantik saya bersama Sharnaaz.
Malah, saya sendiri mengaku, ada beberapa babak bersama Sharnaaz agak keterlaluan. Namun sebagai pelakon, saya dan Sharnaaz bersikap profesional dan hanya mahu memberikan lakonan yang terbaik.
Kami membuat semu itu kerana ingin memenuhi tuntutan watak sepertimana yang tertulis dalam novel asalnya," kata Nelydia.
Ditanya mengenai khabar angin mengatakan teman lelakinya, Qi berasa kurang senang dengan 'kemesraan' yang ditonjolkan kata Nelydia, perkara itu hanya salah faham.
Cemburu itu adalah perasaan normal buat pasangan kekasih. Sebagai teman wanita saya juga perlu lebih bertimbang rasa dan menjaga hati si dia.
Memang tidak dinafikan, cemburu itu wujud dalam setiap pasangan dan saya sendiri berusaha untuk mengelakkan daripada melakukan perkara yang boleh membangkitkan kemarahan. Semua perkara yang berbangkit juga sudah kami selesaikan dengan cara baik," jelasnya.
Berasa sedih
Ditanya pula perasaanya apabila karya yang diadaptasi dari novel nukilan E-Man Sufi itu sudah berakhir, Nelydia berasa sedih apabila terpaksa meninggalkan watak Mastura yang dibawanya. Mengimbas sedikit pengalaman sepanjang pengambaran, Nelydia berkata ada satu babak yang membuatkan dia berasa segan dengan diri sendiri.
Saya tidak pernah mengandung. Babak ini memerlukan saya mengusap perut dan bercakap dengan bayi yang dikandung membuatkan saya malu dengan diri sendiri.
Malah, babak itu diulang banyak kali kerana saya sukar untuk fokus. Sebab itu, saya mengambil pendekatan dengan gelak puas-puas dulu sebelum masuk ke set semula," ujarnya.
BKATC arahan Jamal Khan mengisahkan kehidupan seorang lelaki kataris bernama Jebat lakonan Sharnaaz, berdarah campuran Melayu dan Cina yang berubah daripada jalan hitam kepada kehidupan yang semakin baik.
Jebat jatuh cinta dengan seorang wanita bernama Mastura lakonan Nelydia selepas tekad berhijrah mendalami agama Islam. Pelbagai konflik terjadi yang menjadi halangan percintaan mereka.
Antara pelakon yang membintangi drama yang mula disiarkan pada 9 Disember lalu adalah Iqram Dinzly, datuk Jalaluddin Hassan, Lisdawati, Chew Kin Wah, Adeline Tsen dan Tony Eusoff. - utusan
0 comments:
Post a Comment