Surat Terbuka Kepada Presiden Obama
Oleh: Jeyakumar Devaraj
Ke hadapan Presiden Obama,
Ingin sekali untuk diri ini untuk mengucapkan ” Selamat datang ke Malaysia” kerana kami orang Malaysia secara amnya, orang yang senang menerima tamu, dan ramai daripada kami teruja kerana anda dinobat menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44.
Kemampuan anda menyampaikan dan menggulungkan hujah, benar-benar mengagumkan!
Tetapi ada seperkara yang menahan saya dari menerima kehadiran anda ke Malaysia seikhlasnya kerana antara agenda utama anda adalah untuk kerajaan Malaysia menandatangani TPPA – Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Trans-Pacific Partnership Agreement)
Anda perlu tahu wahai Presiden, TPPA akan menaikkan harga ubat-ubatan buat kami, sekaligus meningkatkan kos bagi pesakit HIV untuk mendapatkan rawatan lanjut yang diperlukan saatnya mutasi virus menjadi lali terhadap rawatan biasa.
Firma farmaseutikal menetapkan klausa seperti “pengekskusifan data” yang akan menghalang pengimportan ubatan generik. (Ubat yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal yang bukan pengeluar asal ubat tersebut setelah hak patennya tamat)
Walaupun selepas tamat tempoh hak paten dengan menjadikannya satu “jenayah” apabila penggunaan data berkaitan ubatan digunakan syarikat lain.
Ramai pesakit kanser akan menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan efektif untuk mengubati kanser sebaik saja Malaysia menandatangani TPPA.
Apakah anda sedar wahai Presiden, bahawa kebanyakan syarikat berebut mahu mematenkan prosedur pembedahan sehingga ke spesis hidupan – peruntukan melalui hak milik intelektual (IPR) menjadi satu kebiasaan untuk “memagar” hak asalnya milik kita bersama – satu cara penjarahan kekayaan abad ke-21 oleh syarikat korporat dari negara maju terhadap negara membangun.
Semenjak zaman penjajahan, kekayaan dunia ketiga dijarah – mulanya dari pemerintahan oleh penjajah, kemudiannya melalui kawalan teknologi, seterusnya melalui keberhutangan dan kawalan akses kepada pasaran.
Dan peruntukan melalui IPR adalah kaedah terbaru menjarah hasil kekayaan negara yang lebih miskin untuk keuntungan 1% yang kaya.
Presiden Obama, anda mesti pernah mendengar kes Philip Morris, pengilang rokok dari US menyaman kerajaan Australia kerana meluluskan undang-undang untuk memastikan semua syarikat pengilang rokok untuk meletakkan gambar pesakit kanser di atas kotak rokok.
Kata Philip Morris untung berniaga mereka diganggu oleh penguatkuasaan ini kerana akan menurunkan hasil jualan rokok di Australia!
Apa pendirian anda wahai Obama – apa ianya tidak menjelikkan untuk sebuah syarikat mempunyai hak undang-undang untuk menyaman sebuah kerajaan yang dilantik rakyat untuk mengambil langkah melindungi rakyatnya sendiri?
Apa anda tidak gusar bahawa peruntukan TPPA memberi kuasa terlalu luas buat syarikat gergasi?
Dan juga ada beberapa perkara – ada sesetengah kerajaan yang sudahpun menandatangani klausa Investor State Dispute Settlement (ISDS) disaman di tribunal antarabangsa oleh syarikat gergasi yang mencemarkan sungai dan sumber air, dan ada yang disebabkan kerana mengharamkan praktis industri yang merbahaya kepada masyarakat antara yang lainnya.
Jadinya mengapa anda wahai Obama bersungguh untuk TPPA yang hanya akan menguntungkan bos korporat?
Apakah boleh saya boleh bertanya soalan yang kurang sopan pada kamu wahai Presiden?
Pada kemahuan siapa anda datang melawat Malaysia – kemahuan orang negara Amerika? Saya yakin bahawa majoriti rakyat negara kamu sendiri mahukan rakyat Malaysia punyai akses terhadap ubatan dan buku teks pelajaran dengan harga berpatutan.
Kebanyakan rakyat Amerika pastinya melihat tidak ada salahnya sesebuah kerajaan untuk melindungi kesihatan warga dan alam sekitarnya.
Rakyat anda wahai Presiden pasti tidak akan bersetuju kepada banyak peruntukan yang terdapat di dalam TPPA – dan mungkin sahaja ini adalah sebab mengapa rundingan itu hingga hari ini berlaku tanpa pengetahuan rakyat anda sendiri, malahan Ahli Kongres sendiri.
Setiausaha Perdagangan negara anda, Michael Froman baru-baru ini memberitahu kepada Kaukus Parlimen kami bahawa TPPA adalah perjanjian terpenting abad ke-21.
Apakah anda bersetuju dengan itu wahai Presiden – dengan rundingan yang dilakukan secara rahsia, dengan menyimpan maklumat dari keseluruhan warga 12 negara yang menyertai rundingan – apa yang “berkualiti” dan “canggihnya” tentang itu? Mana perginya
kejujuran, rundingan dan ruang untuk penglibatan warga?
Jadinya wahai Presiden, jika anda di sini bukan sebagai wakil rakyat Amerika, pada kemahuan siapa anda di sini?
Apakah mereka yang memiliki 1% kekayaan dalam dunia ini bagi memaksimumkan keuntungan mereka? Apakah mereka ini yang diwakili anda?
Jika begitulah, sukar untuk saya mengucap dan benar-benar ikhlas dengan ucapan “Selamat Datang ke Malaysia” saya ini.
Adalah sesuatu yang menyedihkan, untuk seorang individual yang cerdik pandai seperti anda akhirnya diperkudakan untuk menjadi tunggangan syarikat korporat Amerika, kata mereka, kuasa itu cemar tetapi tidak bagi mereka ini!
Bagaimanapun ianya adalah satu kerugian untuk bakat anda dipersiakan dari dikerjakan ke arah dunia di mana kehidupan warga lebih utama dari keuntungan, di mana pengeluaran gas karbon dioksida terkawal dan alam sekitar diperlaku penuh hormat.
Sampaikan salam kami buat warga Amerika wahai Presiden Obama, kami tidaklah berkelahi dengan mereka, kerana dengan ikhlasnya, kami mengerti warga biasa Amerika turut terjejas dengan status pengangguran dan pendapatan 60% rakyat termiskin Amerika yang semakin meleset sedari 20 tahun yang lalu.
Mungkin satu hari nanti, tidak jauh dari sekarang, warga marhaen negara anda dan kami akan berganding bahu mencabar tamak haloba syarikat korporat dan menyusun atur semula masyarakat kita berdasarkan prinsip demokrasi penyertaan, keadilan sosial dan solidariti.
Di dalam tatanan yang baru itu wahai Presiden, dagangan antara negara menjadi penting, dengan semangat, “pasaran adil” yang memberi manfaat pada warga dunia, bukan tamak haloba korporat atas nama “pasar bebas”. – 27 April, 2014.
* Jeyakumar Devaraj merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia dan Ahli Parlimen Sungai Siput.
Sumber:malaysianreview.com
0 comments:
Post a Comment