Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



MH370: GeoResonance Dakwa Serah Maklumat Teluk Benggala Sejak 31 Mac Tetapi Tidak Dilayan

 Imej multispektral yang diambil di lokasi oleh GeoResonance.-GeoResonance Pty Ltd

KUALA LUMPUR - 30/4/2014: Syarikat penerokaan Australia yang mendedahkan kemungkinan ia menemui bangkai dipercayai sebuah pesawat yang terdampar di dasar laut di Teluk Benggala mendakwa telah menyerahkan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa yang terlibat dengan penyiasatan kehilangan MH370 tetapi ia tidak dipedulikan.

GeoResonance dalam satu kenyataan memaklumkan ia telah menyerahkan laporan akhir penemuan itu termasuk kedudukan sebenar bangkai berkenaan kepada Malaysia Airlines (MAS), kerajaan Malaysia dan China melalui kedutaan masing-masing di Canberra serta Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang bertanggungjawab ke atas pencarian MH370 di Lautan Hindi.

Ia bagaimanapun terkejut dengan kurangnya maklum balas daripada pihak berkuasa berkenaan.

"Mungkin kerana mereka kurang faham dengan kemampuan teknologi (GeoResonance) atau JACC sangat sibuk atau (mereka) percaya carian di selatan Lautan Hindi sekarang adalah satu-satunya lokasi bangkai pesawat yang munasabah," kata GeoResonance dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

GeoResonance memaklumkan ia menggunakan teknologi yang telah terbukti dalam usaha mengesan antaranya kapal dan pesawat yang tenggelam. Ia juga memaklumkan teknologi sama digunakan dengan berjaya dalam industri penerokaan perlombongan.

Dalam kenyataannya, GeoResonance menjelaskan pendedahan syarikat itu pada Isnin bukan bertujuan untuk mencari publisiti sebaliknya hanya mahu mengetengahkan maklumat tersebut kepada perhatian pihak berkuasa.

GeoResonance merasakan ia mempunyai "tanggungjawab moral untuk membantu keluarga 239 penumpang dan krew penerbangan MH370 dengan mengeluarkan penemuan ini supaya pihak berkuasa boleh menyiasat".


Syarikat itu mula membuat carian di Teluk Benggala sebelum usaha mencari pesawat Boeing 777-200 berpindah ke selatan Lautan Hindi dan mengesan apa yang mereka percaya bangkai sebuah pesawat penerbangan komersial.

Operasi syarikat itu melibatkan 23 pegawai penyelidik dan dibuat "untuk membantu keluarga penumpang dan krew yang hilang" kerana syarikat itu mempunyai teknologi yang mampu melakukan penyelidikan di dasar laut.

Bangkai itu dikesan di kawasan yang terletak kira-kira 190 kilometer ke selatan Bangladesh di Teluk Benggala dan terletak lebih kurang 1000 atau 1100 meter dari permukaan laut.

"(Kami) tidak mengisytiharkan ini ialah MH370 bagaimanapun ia perlu disiasat," kata kenyataan itu.

GeoResonance membuat carian mengunakan imej yang dirakamkan di empat zon di utara dan barat laut Malaysia pada 10 Mac sebelum ia mengesan kejanggalan di satu kawasan di Teluk Benggala. Ia kemudian membuat perbandingan dengan rekod imej yang diambil pada 5 Mac.

GeoResonance memberitahu ia pertama kali berkongsi maklumat itu dengan MAS dan pihak kedutaan Malaysia dan China di Canberra pada 31 Mac — 24 hari selepas pesawat penerbangan MH370 itu hilang dan lebih kurang seminggu sebelum kotak hitam dapat bertahan.



Kawasan pencarian GeoResonance dibahagikan kepada empat zon. -GeoResonance Pty Ltd.

Maklumat sama kemudian diserahkan kepada JACC di Perth pada 4 April sebelum laporan lengkap diserahkan kepada semua pihak pada 15 April.

Pesawat penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing, China. Ia kemudiannya dikesan berpatah balik tidak sampai satu jam kemudian dan kali terakhir dikesan oleh radar kira-kira 320 kilometer ke barat laut Pulau Pinang pada pukul 2.15 pagi.

Usaha mencarinya digerakkan di Laut China Selatan sebelum diperluaskan ke utara Selat Melaka. Pada 17 Mac, usaha mengesan pesawat malang itu kemudian dipindahkan ke Lautan Hindi dan disertai oleh beberapa negara antararabangsa.

Tujuh hari selepas itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan, berdasarkan maklumat satelit terbaru, penerbangan pesawat itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

Malaysia setakat ini menegaskan akan meneruskan usaha mencari pesawat yang hilang itu. - Awani


Baca juga di sini

MH370: Australia Tolak Dakwaan Bangkai Pesawat Ditemui Di Teluk Benggala





0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ