Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



MH370: Masuk Hari Ke 11, Apa Yang Telah Kita Tahu?

Masuk Hari Ke 11, Apa Yang Telah Kita Tahu



KUALA LUMPUR - 18/3/2013 : Misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 di koridor utara dan selatan kini bermula, setelah siasatan mengesahkan bahawa pesawat itu telah berpatah balik dari Laut China Selatan menuju Laut Andaman pada awal pagi 8 Mac.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata negara-negara termasuk Australia, China, Indonesia dan Kazakhstan telahpun memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Koridor utara merintangi kawasan kira-kira dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand, sementara koridor selatan merintangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Pada lewat Sabtu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa misi SAR diperluas ke koridor utara dan selatan ekoran data dari radar tentera mengesahkan bahawa pesawat yang telah berpatah balik dari pusat kawalan trafik udara Vietnam, adalah penerbangan MH370.

Dalam pada itu operasi mencari di Laut China Selatan telah dihentikan.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan berkata Kementerian Luar telah juga menghantar nota diplomatik kepada negara-negara yang terlibat dalam misi SAR, iaitu negara-negara di koridor pencarian dan negara-negara yang Malaysia pohon bantuan dan kepakaran.

"Bagi negara-negara di koridor pencarian, kita meminta maklumat radar dan satelit, serta aset spesifik untuk operasi SAR.

"Kita meminta mereka memperkongsikan rancangan tindakan mencari dan menyelamat di darat, laut dan udara dengan Pusat Penyelaras Penyelamat di sini di Malaysia, supaya kita boleh menyelaras usaha mencari," kata beliau di persidangan akhbar harian mengenai MH370.

Separuh dari 14 negara di dua koridor itu telah memberi persetujuan lisan terhadap usaha itu.
Menteri itu berkata Malaysia mengetuai koordinasi keseluruhan SAR sementara Australia dan Indonesia bersetuju mengetuai operasi di rantau masing-masing dalam koridor selatan, mengikut penandaan oleh Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa.

Dua buah kapal Malaysia, kapal ronda luar pantai KD Kelantan dan KD Selangor, bersama sebuah helikopter Super Lynx telah dikerah ke koridor selatan.

Menyentuh isu lain, Hishammuddin menegaskan bahawa Malaysia tidak merahsiakan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan MH370.

Pada hari ke-10 hilangnya pesawat MAS itu, Hishammuddin berkata selain tidak ada menerima isyarat kecemasan, pihak berkuasa juga tidak menerima sebarang nota tebusan, dan tidak ada pihak yang tampil mendakwa bertanggungjawab.

CEO MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata tidak ada bukti penumpang membuat sebarang panggilan telefon selepas pesawat itu lenyap.

Beliau juga berkata siasatan awal menunjukkan suara yang menyebut "Alright, good night", komunikasi terakhir dari kokpit kepada pengawal trafik udara, adalah suara pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid dan ia dihantar pada 1.19 pagi sebelum pesawat hilang dari radar pada 8 Mac.

Pemancaran terakhir dari Aircraft Communications Addressing and Reporting System (ACARS) ialah pada 1.07 pagi.

Beliau juga mendedahkan bahawa kandungan utama kargo dalam pesawat MH370 yang menuju Beijing ialah buah manggis.

Dalam perkembangan lain, Polis berkata simulator penerbangan yang diambil dari rumah juruterbang Kapt Zaharie Ahmad Shah semalam, telah dipasang semula di Bukit Aman bagi mencari petunjuk sama ada wujud kaitannya dengan insiden pesawat hilang itu.

Sehingga ini, 26 negara terlibat dalam operasi SAR. - Awani





0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ