Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Penyokong Liar : JDT Dan Kelantan Didenda Lebih RM15,000




PETALING JAYA, 21 Mac - Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) didenda sejumlah RM19,458.14 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana tindakan liar segelintir penyokongnya pada perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 18 Jan lepas.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman berkata JDT didenda selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan iaitu memecahkan kereta pengurus pasukan Perak, Datuk Azhar Ahmad; menyalakan suar selepas tamat perlawanan selain gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.

Beliau berkata setiap pertuduhan berkenaan membawa denda RM5,000 manakala bagi kos kerosakan kereta sebanyak RM4,458.14, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Jumaat.

Selain JDT, katanya pasukan Kelantan didenda sebanyak RM15,000 selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan ketika melayan kunjungan pasukan Sime Darby FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, 18 Jan lepas.

Tiga pertuduhan tersebut adalah membakar kertas 'flash card', mengeluarkan kata-kata kesat selain tidak menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi.

"Setiap pertuduhan berkenaan dikenakan denda sebanyak RM5,000," katanya.

Dalam pada itu, Ednan berkata jawatankuasa berkenaan akan memanggil dua pemain import JDT dari Argentina; Pablo Aimar dan Luciano Figueroa, minggu depan.

Dua pemain berkenaan dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman kepada pertahanan Pahang, Damion Stewart dari Jamaica pada aksi Liga Super di antara kedua-dua pasukan berkenaan di Stadium Darul Makmur, 7 Feb lepas.

Pada masa yang sama, Ednan memaklumkan pihaknya akan membicarakan insiden 'terowong Larkin' melibatkan pasukan JDT dan T-Team pada minggu depan, namun enggan mengesahkan mana-mana individu bakal dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan jawatan berkenaan.

"Kita akan bincang dengan pihak Sekretariat FAM dan rujuk kepada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib (Datuk Taufik Abdul Razak) sebelum membuat keputusan kerana kes ini berprofil tinggi.

"Bukan kita sengaja melambatkan kes ini...kita akan ambil tindakan dan kes berkenaan dijangka selesai dibicarakan pada bulan ini," katanya.

Perlawanan antara JDT dan T-Team diberhentikan selepas T-Team tidak mahu meneruskan perlawanan susulan kekecohan membabitkan kedua-dua pasukan sebaik tamat aksi separuh masa pertama kempen Piala FA, yang berlaku di dalam terowong menuju ke bilik persalinan, 1 Feb lepas.


Baca juga di sini

Bola Sepak: Selangor, Pahang, Terengganu, Perak Didenda RM75,000


0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ