Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Ratusan ribu hadiri Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul




PUTRAJAYA - 22/3/2014: Ratusan ribu umat Islam yang menghadiri majlis Selawat Perdana Malam Cinta Allah dan Rasul di dataran Masjid Putra di sini malam tadi mengambarkan kejayaan program tersebut.

Ia merupakan perhimpunan selawat terbesar pernah dianjurkan di pusat pentadbiran negara bertemakan bertemakan ‘Kesatuan, Perpaduan dan Persaudaraan’.

Perhimpunan itu bertambah seri dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Hujan renyai tidak menghalang orang ramai yang kebanyakannya berpakaian jubah putih memenuhi dataran Masjid Putra seawal jam 6 petang bagi mengikuti pelbagai pengisian program berbentuk keagamaan disediakan penganjur.

Para peserta antaranya terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, pelajar sekolah, mahasiswa universiti tempatan dan luar negara, golongan profesional serta ahli korporat.

Tokoh agama terkenal nusantara, Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid memimpin qasidah dan selawat yang dialunkan memuji Rasullah SAW.

Para hadirin turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, selain disajikan dengan zikir terapi dan bacaan al-Quran berduet oleh peserta Imam Muda Amiril Md. Banin serta Pencetus Ummah (PU) sepanjang empat jam program tersebut berlangsung.

Hadirin juga disajikan dengan dua tazkirah duet oleh para peserta rancangan PU iaitu Fakhrul Islam Md. Zarin, Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan, Salman Maslori, Shahul Hamid Seeni MD dan Attan Thowi Yusof.




Selepas solat Isyak, Perdana Menteri menyertai hadirin daripada pelbagai latar belakang dan usia menunaikan solat hajat serta bacaan doa bagi memohon supaya operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu dipermudahkan.

Solat hajat dan bacaan doa tersebut dipimpin oleh Jamil Khir di Masjid Putra.

Pengarah Publisiti dan Promosi program itu Izelan Basar berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 500,000 orang menghadiri program itu, yang buat pertama kalinya diadakan secara besar-besaran.

Program itu disiarkan secara langsung di TV1 Radio Televisyen Malaysia, TV Al-Hijrah dan Astro Oasis serta Radio Ikim.










1 comments:

tak dapat pergi malam tadi.. akak mengikuti di tv al-hijrah di rumah sahaja.. semoga program selawat perdana sebegini diteruskan pada masa akan datang..

22 March 2014 at 18:00 comment-delete

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ