Turki Sekat Akses Twitter
Kalau kat Malaysia ni pasti ramai yang mengamuk sakan...hehehe
ANKARA - 21/3/2014: Twitter disekat di Turki lewat Khamis hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan memberi amaran untuk "menghapuskan" rangkaian sosial itu serta beberapa rangkaian lain yang mendedahkan dakwaan penyelewengan terhadap beberapa pemimpin kanannya.
Agensi berita Anatolia melaporkan pihak berkuasa "secara teknikal menyekat akses kepada Twitter" kerana perkhidmatan itu tidak menghiraukan beberapa arahan mahkamah untuk membuang sebahagian pautan yang disifatkan melanggar undang-undang.
Twitter dalam reaksinya melalui akaun rasmi @policy berkata rakyat Turki boleh melepasi sekatan itu dengan menggunakan perkhidmatan teks telefon mudah alih.
Dalam reaksi awal, pesuruhjaya Kesatuan Eropah bagi agenda digital, Neelie Kroes, melalui Twitter berkata sekatan Turki itu "tidak berasas, tiada makna dan tindakan pengecut".
Beliau menambah "rakyat Turki dan masyarakat antarabangsa boleh melihat tindakan ini sebagai penapisan. Inilah dia."
Sekatan akses kepada Twitter dibuat selepas Erdogan memberitahu satu rapat umum menjelang pilihan raya kerajaan tempatan pada 30 Mac ini bahawa beliau akan menyekat akses kepada Twitter di Turki.
"Kita akan hapuskan Twitter. Saya tidak peduli apa yang masyarakat antarabangsa akan kata," katanya.
Pejabat Erdogan dalam satu kenyataan meyifatkan Twitter telah tidak menghiraukan perintah mahkamah Turki yang meminta "beberapa pautan" dikeluarkan dan perdana menteri itu terpaksa memberi perhatian kepada perkara itu.
Laman web pihak berkuasa komunikasi Turki (TIB) menarik perhatian kepada empat perintah mahkamah yang berasingan yang merujuk kepada twitter.com.
Satu daripadanya menyebut: "Langkah perlindungan telah diambil bagi laman web ini (twitter.com) berdasarkan kepada keputusan… pejabat ketua pendakwa raya Istanbul dan telah dilaksanakan oleh TIB."
Anatolia dalam satu laporannya menyebut sekatan ini adalah satu-satunya jalan penyelesaian "untuk menangani layanan tidak adil terhadap rakyat (Turki).
Erdogan berdepan tekanan selepas rakaman audio yang mengaitkan beliau dengan skandal rasuah tersebar melalui rangkaian media sosial. Rakaman itu termasuk satu perbincangan antara Erdogan dengan anaknya tentang menyembunyikan dana serta dengan beberapa orang yang lain yang membayangkan beliau campur tangan dalam urusan perniagaan, kes mahkamah dan liputan media.
Antara maklumat yang mencemarkan namanya itu datang daripada sebuah akaun Twitter di bawah nama Haramzadeler yang kelihatan mempunyai akses kepada sejumlah besar dokumen sulit dan maklumat polis berhubung siasatan itu.
Erdogan menafikan kebanyakan rakaman itu dengan menyifatkannya sebagai fitnah jahat penentangnya dan mengancam mengharamkan YouTube dan Facebook selepas pilihan raya penting pada 30 Mac ini.
"Ini tidak ada kena mengena dengan kebebasan. Kebebasan tidak bermakna hak untuk menceroboh privasi seseorang atau menyebarkan rahsia negara kepada dunia," kata Erdogan pada Khamis.
Perdana menteri itu secara terbuka mempunyai syak wasangka terhadap Internet. Pada tahun lalu, beliau menggelar Twitter sebagai "berbahaya" kerana membantu menganjurkan protes anti kerajaan yang besar.
Turki yang mempunyai lebih 10 juta pengguna Twitter telah menyekat banyak laman web sejak beberapa tahun yang lalu. YouTube diharamkan selama dua tahun sehingga 2010 kerana kandungan yang disifatkan menghina pengasas negara itu, Mustafa Kemal Ataturk. — Agensi
0 comments:
Post a Comment