MH370: Akhbar Tempatan Terbit Dengan Muka Depan Hitam Tanda Berkabung

Selamat Omar, bapa kepada salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH 370, Mohd Khairul Amri Selamat, membaca akhbar tempatan pagi tadi. --fotoBERNAMA


KUALA LUMPUR - 25/3/2014: Semua akhbar tempatan pada Selasa terbit dengan muka depan berwarna hitam sebagai tanda menghormati semua 239 orang penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.

Akhbar The Star menerbitkan muka depannya dengan memaparkan nama kesemua 239 orang yang menaiki pesawat malang itu dengan tajuk besar "MH370 R.I.P". Nama kesemua penumpang dan anak kapal pesawat itu dicetak berbaris membentuk tajuk muka depan itu.

"The Star ikut berdukacita bersama dunia dan mengucapkan takziah yang teramat mendalam kepada keluarga 239 penumpang dan anak kapal," kata akhbar itu.

Akhbar The New Straits Times pula menampilkan foto hitam putih pesawat Boeing 777-200 penuh satu halaman dengan "Goodnight, MH370".

Berita Harian meletakkan tajuk berita "MH370 Terhempas di Lautan Hindi" bersama gambar reaksi ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

Utusan Malaysia menggunakan tajuk "MH370 berakhir di Lautan Hindi", juga foto reaksi dari anggota keluarga yang terlibat.

Manakala Sinar Harian pula memilih perkataan "PILU" sebagai tajuk utamanya

Di laman rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter, orang ramai juga menukar gambar profail mereka dengan latar belakang hitam atau memaparkan ikon sebagai tanda simpati serta dukacita atas tragedi ini.

Sementara itu di Negeri Johor...




MH370 :Sultan Titah Kibar Bendera Johor Separuh Tiang


Sultan Johor Sultan Ibrahim menitahkan supaya bendera negeri Johor dikibar separuh tiang di negeri ini bagi menghormati tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pengibaran bendera separuh tiang itu berkuat kuasa serta-merta kepada jabatan, agensi kerajaan serta pihak swasta selama sehari, hari ini.

"Titah baginda adalah sebagai menghormati dan melahirkan rasa simpati terhadap kejadian dan kepada keluarga mangsa khususnya anak kapal dan penumpang," katanya yang ditemui pemberita pada majlis taklimat pembangunan industri nanas di Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia di Johor Bahru hari ini.

Mohamed Khaled berkata kerajaan Johor dan seluruh rakyat negeri ini melahirkan rasa simpati dan takziah kepada keluarga yang terlibat.

Beliau berkata pihaknya berharap kesemua keluarga tersebut menerima ketentuan itu dengan tenang dan penuh kesabaran.

"Anggaplah kejadian ini sebagai qada' dan qadar ketentuan Allah SWT," kata Mohamed Khaled.

Dalam sidang akhbar malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Penerbangan itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama


1 comments:

Maaf,sy kurang fhm..Knpe warne hitam?

Anonymous
27 March 2014 at 07:48 comment-delete

Post a Comment



Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ