Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



MH370: Pengguna Internet Diselar, Bunuh Orang Guna Kata-Kata Kesat - Rais

Pengguna Internet Diselar, Bunuh Orang Guna Kata-Kata Kesat



KUALA LUMPUR: Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim menyelar pengguna laman sosial yang menggunakan bahasa kasar semasa membicarakan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Beliau berkata ini menunjukkan sebahagian pengguna laman sosial sudah hilang prinsip budaya serta nilai timur.

"Internet sudah merubah nilai hidup masyarakat kita pada hari ini, yang kini memilih menggunakan bahasa kasar dan membunuh orang dengan kata-kata kesat.

"Saya sebagai penasihat kerajaan akan cuba berunding supaya budaya tidak berbudi bahasa, berbahasa kasar dan tidak mempedulikan orang lain tidak berleluasa," katanya.

Rais, yang juga Penaung Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (Yirmi), berkata demikian dalam sidang media ketika majlis Sepetang Bersama Penaung Yirmi di sini pada hari Khamis.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Warisan Negara (YWN) Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Herman Prayitno serta pemimpin Persatuan Banjar Malaysia; Persatuan Bawean Malaysia; Persatuan Halak Mandailing Malaysia; Persatuan Ikatan Komuniti Minang Malaysia; Persatuan Masyarakat Kampar Malaysia; Perhimpunan Masyarakat Indonesia di Malaysia (Permai) dan Ikatan
Komunitas Merah Putih.

Rais berkata Yirmi dan YWN dijangka menerbitkan edisi pertama majalah Suara Nusantara bulan depan yang memuatkan penulisan, berita dan jurnal berkaitan warisan serta seni budaya Malaysia dan Indonesia.

Katanya, beliau juga akan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melihat cadangan bagi mewujudkan Jalan Melayu di ibu negara.

"Brickfields dikenali sebagai Little India manakala Jalan Petaling dikenali sebagai China Town. Jadi Jalan Melayu perlu diambil kira untuk menonjolkan ciri-ciri kemelayuan," katanya.

Sementara itu, Herman berkata Indonesia dan Malaysia perlu melestari budaya nusantara agar tidak luntur dalam kalangan generasi muda yang akhirnya menyebabkan golongan berkenaan dipengaruhi budaya asing. - awani




0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ