Klik Sini Untuk Besarkan Ruangan Chat



Polis Temu Bual Lebih 100 Orang Untuk Rungkai Misteri Pesawat MH370



KUALA LUMPUR 24/3/2014: Polis telah menemubual lebih 100 orang termasuk keluarga juruterbang dan pembantunya bagi membantu siasatan berhubung misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Ketua Polis Negara akan hadir dalam sidang media (pada Selasa) untuk menjawab soalan tambahan berhubung siasatan," katanya pada sidang media harian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Isnin.

Sebuah akhbar tabloid di Britain, The Daily Mirror melaporkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) akan menemui isteri juruterbang penerbangan MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah bagi merungkaikan misteri kehilangan pesawat itu yang masuk minggu ketiga.

Polis sebelum ini menyiasat kediaman Kapten Zaharie dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid setelah siasatan awal mendapati pesawat berkenaan melencong dan berpatah balik dari laluan asalnya ke Beijing.

Polis turut merampas simulator penerbangan dari kediaman Zaharie dan memasangnya semula di Bukit Aman untuk disemak oleh sekumpulan pakar.

Dalam pada itu, Hishammuddin memaklumkan pihak sedang menimbang untuk mendedahkan traskrip perbualan antara kokpit pesawat penerbangan MH370 dengan pusat kawalan trafik udara.

"Kami akan maklumkan keputusan itu," katanya.

Hishammuddin pada Sabtu mengumumkan transkrip perbualan itu "tidak menunjukkan sebarang keganjilan" dan mengikut amalan standard penyiasatan, ia tidak boleh didedahkan pada peringkat ini.

Akhbar The Telegraph pada Sabtu mendedahkan apa yang dikatakan sebagai transkrip perbualan antara kokpit penerbangan MH370 dengan pusat kawalan trafik udara yang dilaporkan diperolehi daripada sumber yang dekat penyiasatan. Transkrip itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Mandarin.

Laporan akhbar di Britain itu bagaimanapun dinafikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman sebagai "tidak sahih" dan "tidak tepat". Laporan sama juga dinafikan oleh bekas juruterbang MAS, Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain.

Sementara itu di Johor Bahru, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan 40 kakitangan DCA yang ditemui oleh polis berhubung kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu adalah untuk membantu siasatan, dan bukannya disiasat.

“Bukan siasat tetapi kita pihak polis cari maklumat. Saya kena betulkan persepsi, siasatan itu tidak dilakukan terhadap pegawai-pegawai DCA tetapi untuk memperoleh maklumat," katanya.

Jelas Ahmad Zahid, pihak polis perlu menemubual semua pihak yang dipercayai boleh memberikan maklumat tambahan kepada siasatan yang sedang dilakukan.

"Saya harap media tempatan dan luar negara tahu prosedur perolehan maklumat tambahan oleh PDRM. Saya tidak mahu adanya pandangan serong terhadap pegawai DCA," tambahnya, merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian yang memetik sumber.

Jelas Ahmad Zahid, selain DCA, pihak polis juga boleh menemubual kakitangan mana-mana agensi lain sekiranya maklumat mereka itu boleh mengukuhkan lagi hasil siasatan.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Seri Alam dekat sini.
- awani


Baca juga di sini



0 comments:

Post a Comment


Blog Archive

google-site-verification=UIIQk8hKReg9aDe9WrgxXxVavyJYB0E6JwZuqmRWhYQ